Balun sarat aksi mendebarkan


FILEM Balun bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 17 Ogos depan.


Menyaksikan sendiri bapanya mati ditembak, Hassan pulang semula ke kampung halaman selepas 17 tahun untuk menuntut bela dan mencari pembunuh sebenar bapanya.

Setibanya Hassan di pekan Kamunting, dia terlibat dengan insiden sekumpulan penyamun dalam cubaan merompak kedai serbaneka di sebuah stesen minyak.

Hassan cuba mengejar penyamun tersebut dan tanpa disangka dia sampai ke kampung halamannya. Ironinya, pemuda itu hampir melanggar seorang gadis bernama Nur Ain. Biarpun permohonan maaf sudah dibuat Hassan, namun Nur Ain masih tidak berpuas hati.

Itu intipati filem Balun yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 17 Ogos depan.

Membariskan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Izara Aishah, Wan Raja, Reen Rahim, Datuk Eizlan Yusof, Namron dan Allahyarham Datuk Aziz Singah, filem arahan Bob Singah terbitan Elements Pictures Sdn. Bhd. itu menampilkan kisah aksi yang mendebarkan.

Sesuatu yang menyayat hati dan dekat dengan diri Bob apabila filem arahannya itu menjadi detik penyaksian kehilangan dua orang terpenting dalam hidupnya.

“Kami berusaha keras untuk menayangkan filem Balun pada 10 April 2014, bagaimanapun dikejutkan dengan pemergian penerbit asal filem ini, Allahyarham Zulkifli Mustafa dan disusuli pula dengan pemergian ayah saya, Allahyarham Datuk Aziz Singah pada 27 Ramadan tahun lalu.

Maka, kerja-kerja terakhir bagi filem Balun disambung oleh balu kepada Allahyarham Zulkifli iaitu Suzana Ahmad,” ujarnya mengenai filem yang menampilkan sisi terakhir arwah bapanya, Aziz Singah dalam filem berkenaan.


Salah satu babak yang memaparkan aksi pergaduhan antara Izara (kiri) dengan Wan Raja (kanan).


Menampilkan aktor Beto dan Izara sebagai tunjang utama filem ini, Bob mempunyai alasan tersendiri dan yakin dengan kebolehan pelakon-pelakon yang dipilih.

“Syarat utama kami adalah memilih pelakon yang mahir dalam seni mempertahankan diri. Saya memang mengenali Beto ketika pembikinan filem Bilut kerana dia merupakan pelagak ngeri untuk filem tersebut. Maka, saya memilihnya untuk membawa watak Hassan.

“Sementara, pemilihan Izara pula dibuat kerana dia mempunyai ilmu asas seni mempertahankan diri. Mereka berani mengetengahkan seni silat Melayu sambil dibantu oleh pelakon-pelakon lain seperti Namron, Reen, Eizlan, Aziz Singah, Wan Raja dan Yank Kassim. Boleh dikatakan pengisian cerita Balun diselang-seli dengan adegan aksi yang padat,” jelasnya ketika dihubungi Sensasi Bintang.

Biarpun terpaksa menunggu selama lima tahun, Bob meletakkan harapan yang tinggi agar filem pertama arahannya itu mendapat sambutan penonton, terutamanya bagi mereka yang gemar dengan filem aksi.

“Sebenarnya, ini merupakan filem pertama arahan saya dan ia sudah tersimpan agak lama memandangkan ia sudah menjalani penggambaran sejak tahun 2012 dan keseluruhan lokasi penggambaran dilakukan di Taiping, Perak,” ujarnya lagi.