Toleransi penggiliran pulang ke kampung


Dalam kehidupan berumah tangga suami isteri perlu mengamalkan sikap toleransi. – Gambar hiasan


Pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri sudah menjadi satu budaya di negara ini sejak dahulu.

Ia sudah menjadi sebahagian daripada amalan masyarakat di Malaysia setiap kali tiba musim perayaan.

Di sebalik keriangan pulang ke kampung, isu yang pasti dibangkitkan ialah perebutan giliran bagi pasangan suami isteri.

Baik yang baru mendirikan rumah tangga atau sudah lama isu penggiliran pulang ke kampung halaman masing-masing bagaikan tiada kesudahan.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, isu perebutan giliran balik raya timbul setiap kali musim perayaan disebabkan masyarakat di negara ini yang mempunyai tradisi balik kampung.

Tradisi itu wajar disyukuri kerana terdapat sebilangan masyarakat di negara lain yang tidak pernah menikmati budaya pulang ke kampung.

Bahkan, tradisi pulang ke kampung membuatkan masyarakat lebih mengenali asal usul keluarga lebih mereka.

Modenisasi yang berlaku di negara ini sejak tiga dekad lalu menyebabkan segelintir masyarakat dari desa berhijrah ke kawasan bandar.

Keutamaan

“Penghijrahan itu menyebabkan generasi pertama iaitu mereka yang lahir dan dibesarkan di kampung kemudian berhijrah mencari kehidupan baharu mempunyai hubungan dengan kampung.

“Sudah tentu apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri mereka seboleh-bolehnya mahu pulang ke kampung,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Senario perebutan giliran pulang ke kampung lazim berlaku kepada pasangan suami isteri yang masih mempunyai ibu bapa di kampung.

Bagi generasi pertama yang telah berkahwin mereka mempunyai dua kampung halaman yang berbeza dan masing-masing berkeras enggan melepaskan peluang pulang ke kampung halaman sendiri.

Keadaan menjadi lebih parah apabila kampung halaman suami dan isteri terletak berjauhan.

“Menjaga keharmonian dan keutuhan rumah tangga adalah lebih utama berbanding tradisi balik kampung itu sendiri.

“Kalau ada berlaku isu perebutan giliran pulang ke kampung sehingga mendatangkan pecah belah dalam rumah tangga, mereka seharusnya selesaikan dengan cara yang rasional.

“Justeru, hayati konsep sebenar sambutan lebaran sambil meletakkan keutamaan pada tempat yang betul,” pesannya.

Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Zamri Zainuldin berkata, isu penggiliran pulang ke kampung sukar untuk dielakkan. Sungguh pun demikian, pasangan yang kerap mengalami permasalahan tersebut, mereka seharusnya berbincang untuk mencapai persetujuan kedua-dua belah pihak.

Bertikam lidah

Menurutnya, terdapat segelintir pasangan yang pada mulanya dilihat begitu bahagia, namun apabila membincangkan mengenai giliran balik raya, hubungan mereka jadi huru-hara.

Lebih malang lagi jika ia berlarutan sehingga berlaku pertengkaran, bertikam lidah bahkan jenayah rumah tangga sehingga berlaku penceraian.

“Hari Raya Aidilfitri merupakan peluang terbaik bagi umat Islam mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga.

“Dari situ kita dapat menggalakkan amalan ziarah antara satu sama lain selain menjernihkan kembali hubungan antara ahli keluarga.

“Justeru, kunci utama kepada penyelesaian masalah ini ialah sikap toleransi sesama suami isteri,” jelasnya.

Pesan Zamri, tidak ada salahnya jika sebelah pihak sama ada suami atau isteri beralah demi kebaikan bersama.

Lebih manis lagi sekiranya perbincangan mengenai penggiliran balik raya itu disepakati dari awal bagi mengelakkan berlakunya perpecahan rumah tangga menjelang Aidilfitri.