Kepulangan semula Norfaiezah


NORFAIEZAH (depan) menjadi tonggak penting buat skuad hoki negara pada Separuh Akhir WWHL di Brussels, Belgium bermula esok.


BINTANG dalam pembikinan skuad hoki wanita negara, Wan Norfaiezah Md. Saiuti berada pada tahap terbaik bagi menghadapi Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WWHL) di Brussels, Belgium yang akan membuka tirainya secara rasmi esok.

Penyerang yang kini beraksi sebagai pemain tengah itu dikatakan kembali menemui semula momentum terbaiknya selepas terdahulu gagal mempamerkan aksi cemerlang pada Pusingan Kedua WWHL di Kuala Lumpur, Januari lalu.

Kehadiran semula Norfaiezah, 21, dengan prestasi yang konsisten dilihat dapat membantu misi Malaysian Tigress melakar sejarah baharu negara pada kejohanan yang merupakan pusingan kelayakan ke Piala Dunia 2018 itu.

Ketua jurulatih skuad wanita, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah merupakan individu paling gembira menyaksikan anak didiknya itu kembali dengan aksi konsisten dalam beberapa perlawanan di Amsterdam, Belanda baru-baru ini.

“Dia semakin yakin membuat larian solo untuk melakukan serangan yang secara tak langsung dapat membantu pasukan meraih banyak pukulan sudut penalti.

“Aksinya sangat berlainan sekarang. Kekerapannya itu memboleh­kan pasukan memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan.

“Dia mempunyai bakat semula jadi tetapi sebelum ini tidak konsisten dari segi permainan. Apabila dia berada pada tahap terbaik, ia memang meningkatkan keyakinan pasukan,” katanya.

Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu merupakan antara pemain paling menyerlah selepas diberikan peluang beraksi bersama Malaysian Tigress sejak Januari tahun lalu.

Nama Norfaiezah sentiasa berada dalam senarai skuad utama dan barisan 18 terbaik menghadapi siri-siri jelajah antaranya di Jepun, Australia dan New Zealand sepanjang tahun lepas.

Gaya permainan lincah dan ke­upayaan menggelecek yang tinggi dimilikinya mula ‘memikat’ hati ramai pemerhati sukan hoki tanah air terutama selepas cemerlang pada saingan Liga Hoki Australia di Perth, Oktober tahun lalu.

Kecemerlangan itu berteru­san pada kempen Trofi Juara-Juara Wanita Asia 2016 yang menyaksikan skuad wanita, No. 22 dunia, mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas ranking ke-10 dunia, Jepun.

Penyerang daripada Pasukan Hoki Wanita Terengganu itu sekali lagi beraksi cemerlang pada Jelajah New Zealand 2016 sebelum dia tampak tidak konsisten sewaktu Pusingan Kedua WWHL 2017.

Satu gol cantik yang dijaringkannya ketika menentang kelab liga elit Belanda, Pinoke HC membuktikan dia kini kembali ke tahap sebenar pada waktu yang tepat untuk membantu menggapai impian Malaysian Tigress di Brussels.

Skuad wanita akan memulakan kempen Kumpulan B de­ngan menentang ranking keempat dunia, Australia yang juga pasukan pilihan kejohanan di Stadium Fallon malam esok.