Iktibar kisah Steven McDonald


McDonald (kanan) bersama isteri, Patricia dan anak tunggal mereka Conor yang turut memilih profesion kepolisan sebagai kerjaya.


Mungkin ramai yang tidak mengenali Steven McDonald. Individu ini bukanlah artis Hollywood terkemuka sungguhpun beliau berasal dari negara Uncle Sam.

McDonald ialah seorang anggota polis yang pernah bertugas dengan pasukan polis New York City. Sekitar pertengahan 1980-an, ketika McDonald menjalankan rondaan di bandar raya New York, dia telah menemui sekumpulan remaja untuk bertanya tentang satu kes kecurian basikal.

Tanpa disangka, salah seorang dalam kumpulan remaja tersebut bertindak melepaskan tembakan terhadap McDonald pada tengkuk dan kepala. Kejadian tragis itu menyebabkan McDonald lumpuh seluruh badan. Ia berlaku ketika rumah tangganya baru berusia lapan bulan.

Sungguhpun peristiwa itu sesuatu yang pahit, namun McDonald tidak menjadikan musibah yang menimpanya sebagai batu penghalang untuk beliau memberikan fokus terhadap pembinaan masa depannya.

Balas kejahatan

Kebanyakan orang menyangka McDonald akan melakukan apa sahaja untuk membalas kejahatan remaja berkenaan. Namun jalan yang dipilih McDonald adalah memaafkan orang yang telah menembaknya.

Apabila remaja tersebut menghubungi McDonald dari penjara untuk memohon maaf, beliau sedikit pun tidak melahirkan rasa dendam, sebaliknya menyatakan harapan agar mereka dapat mengembara bersama sambil berkongsi kisah kehidupan masing-masing.

Namun, impian McDonald itu tidak tercapai kerana remaja tersebut meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya beberapa hari selepas dibebaskan dari penjara.

Kisah hidup McDonald dikongsi dalam bukunya berjudul, Why Forgive.

“Perkara yang lebih teruk berbanding sebutir peluru yang telah menembusi tubuh saya ialah andainya saya menanam perasaan dendam dalam jiwa saya,” ujar lelaki yang menghembuskan nafas akhirnya pada usia 60 tahun Januari lalu.


Kemeriahan Aidilfitri lebih bermakna apabila ia dirai bersama keluarga tersayang. – Gambar hiasan


Iktibar

Bulan Ramadan berlalu maka tibalah Syawal yang disambut meriah tanda kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Setiap orang dari segenap lapisan usia dan status sosial menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran sambil menggunakan peluang yang ada bagi mengeratkan silaturahim dengan sanak saudara dan rakan taulan.

Bulan Syawal yang mulia bukan sekadar diisi dengan agenda mengadakan majlis rumah terbuka dan menyajikan pelbagai juadah pelengkap seperti lemang, ketupat serta rendang.

Rumah terbuka hanyalah satu pendekatan untuk menghimpunkan kenalan bagi menyambut hari raya. Ketika rumah terbuka diadakan, tuan rumah dan tetamu saling bermaaf-maafan dan bertanya khabar bagi memanfaatkan kesempatan bersua muka yang mungkin hanya berlaku setahun sekali.

Emosi

Acapkali ketika bermaafan, ucapan kosong-kosong turut dilafazkan.

Dalam kehidupan ini, kemaafan adalah satu perkara yang banyak menyentuh emosi diri. Memaafkan orang lain memerlukan seseorang itu berjiwa besar.

Kajian yang dijalankan oleh beberapa penyelidik bidang psikologi mendapati, perbuatan memaafkan orang lain dapat memberi ketenangan kepada seseorang.

Sifat pemaaf tidak mudah dibentuk di dalam diri kita. Kebanyakan manusia berdepan dengan situasi sukar apabila selepas puas diherdik, dihina dan diperlekeh, mereka terpaksa memaafkan segala kesalahan yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita.

Kecenderungan ke arah berdendam lebih tinggi berbanding sifat maaf. Kalau dapat memaafkan sekalipun, manusia sukar melupakan kejahatan tersebut.

Agak jarang kita temui manusia yang berhati kering iaitu tiada perasaan sekalipun perasaan terguris. Orang yang berhati kering tidak mempedulikan sekelilingnya.

Pada hari baik bulan yang mulia ini, ucapan kosong-kosong diharapkan bukan sekadar lafaz di bibir tetapi disertai dengan jiwa yang tulus memaafkan orang lain. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin.