Empat buah lebuh raya antara bandar terima penarafan tiga bintang

03/07/2017 11:37pm


Tiong Lai (tengah) memotong kek Sambutan 10 Tahun Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bersama wakil-wakil agensi Kementerian Pengangkutan dan wakil Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) hari ini.


PUTRAJAYA - Sebanyak 95.4 peratus dari empat buah jaringan lebuh raya antara bandar di seluruh Semenanjung Malaysia berjaya mencapai penarafan tiga bintang berdasarkan laporan Program Penilaian Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa (iRAP) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, lebuh raya yang terlibat menghubungkan jalan raya dari Kuala Lumpur ke Bukit Kayu Hitam (Lebuh Raya Utara-Selatan), Kuala Lumpur ke Johor Bahru (Lebuh Raya Utara-Selatan), Kuala Lumpur ke Kuantan (Lebuh Raya Pantai Timur 1) dan Kuantan ke Kuala Terengganu (Lebuh Raya Pantai Timur 2) melibatkan jarak sejauh 2,370 kilometer (km).

Jelas Tiong Lai, penarafan tiga bintang itu dilakukan selepas lebuh raya tersebut menepati spesifikasi dan piawaian aspek keselamatan yang ditetapkan.

"Laporan IRAP yang pertama kali dihasilkan ini menujukkan hasil positif penambahbaikan yang dijalankan dengan usahasama merentasi pelbagai sektor.

"Ia juga satu petanda bahawa negara sedang berkembang dengan baik dalam mencapai 75 peratus jalan raya tiga bintang ke atas menjelang 2020 nanti," katanya pada Majlis Sambutan 10 tahun Miros dan Pelancaran Laporan iRAP 2017 di sini hari ini.

Menurut Tiong Lai, hasil laporan iRAP yang dikeluarkan ini dapat membantu pemandu untuk memilih jalan raya yang selamat selain lebih berhati di laluan yang mendapat penarafan kurang tiga bintang disebabkan faktor kekurangan lampu selain keadaan jalan yang merbahaya.

"Selain itu, kerja-kerja menaik taraf jalan yang terlibat akan dilakukan oleh pihak kontraktor dalam tempoh masa enam bulan dengan mengambil kira hasil dapatan laporan iRAP ini," katanya yang memberitahu hasil laporan itu boleh diperoleh menerusi laman web Miros.

Jelas beliau, program iRAP yang dijalankan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun bermula tahun lalu akan diperluaskan merangkumi kawasan Lebuh Raya Bandar (Urban Highway), Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak di kawasan sejauh lebih 4,000 km.

"Penilaian jalan raya melibatkan kawasan di Sarawak akan dijalankan dalam masa terdekat diikuti dengan jalan raya di Sabah pada tahun depan," katanya.

Tambahnya, dalam meningkatkan taraf keselamatan jalan raya, pihaknnya masih menjalankan pelbagai kajian untuk memahami sikap dan tingkah laku pengguna jalan raya memandangkan kajian menunjukkan bahawa faktor kemanusiaan menyumbang kepada 80 peratus punca kemlaangan. - K! ONLINE