Aura baju Melayu klasik, moden The Haidars


Kain kapas dari Jerman taruhan koleksi busana The Haidars.


Golongan lelaki tidak terkecuali untuk tampil menarik sama seperti kaum wanita sempena lebaran tahun ini.

Justeru, pengeluar fesyen pakaian lelaki, Qierahman melancarkan koleksi baju Melayu The Haidars yang menampilkan selebriti Que Haidar sebagai wajah utama jenama itu baru-baru ini.

Pengasasnya, Qie Anuar berkata, ia merupakan kolaborasi penghasilan busana baju Melayu tradisional sempena Aidilfitri yang pertama kali dilakukan bersama artis kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu.

“Saya berasa sangat bertuah kerana dia (Que Haidar) sudi bekerjasama dengan Qierahman dalam menghasilkan koleksi The Haidars ini.

“Pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, Que Haidar memuat naik gambar keluarganya sambil menggayakan busana koleksi Qierahman dan mendapat pelbagai reaksi positif dalam kalangan peminat.

“Rentetan itu, dia yang selesa dengan koleksi Qierahman kemudian bersetuju untuk menghasilkan koleksi busana sempena Aidilfitri tahun ini menggunakan labelnya,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di No Black Tie, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Koleksi The Haidars terdiri daripada dua jenis iaitu The Haidars Modern dan The Haidars Classique yang merupakan koleksi premium.

Justeru, koleksi The Haidars Classique hanya dikeluarkan terhad dalam 200 pasang.

Ia tampil dengan warna yang bersesuaian dengan semua tona kulit lelaki Asia iaitu hitam, biru kelasi, mustard, perang kopi, hijau zaitun dan hijau gelap.

Inspirasi

Koleksi Modern pula didatangkan dalam 20 varian pilihan warna.

Qie Anuar menambah, koleksi moden direka khas dengan rekaan poket yang diinspirasikan daripada blazer.

Selain itu, potongan baju pada koleksi moden pula tidak didatangkan dengan pesak, sekali gus membuatkannya tampak lebih ramping.

Rekaan koleksi itu dihasilkan khas buat golongan lelaki yang ingin tampil lebih maskulin dan mereka yang inginkan kelainan menjelang musim perayaan ini.

Ia sesuai digayakan oleh golongan belia berumur dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun.

Bagi individu yang menggemari potongan baju Melayu asli, koleksi Classique merupakan pilihan yang ideal.

Rekaan baju Melayu klasik disuntik dengan elemen moden dalam sepersalinan busana tradisional.

Rekaan masih mengekalkan ciri-ciri tradisional baju Melayu asli seperti pesak dan susunan tiga poket, namun potongannya memberikan kesan lebih ramping pada badan si pemakai.

Bagi koleksi ini pula, mereka yang berumur 28 hingga 40 tahun adalah lebih sesuai untuk digayakan.

“Fabrik yang ditampilkan dalam koleksi The Haidars dipilih sendiri oleh Que Haidar yang menggunakan kain kapas dari Jerman.

“Relevan pemilihan fabrik itu adalah ia selesa dipakai walaupun setelah menjalani aktiviti seharian selain tidak mudah renyuk,” jelasnya.

The Haidars Classique dijual pada harga RM350 manakala Modern pula boleh didapati pada harga hanya RM180.

Dapatkan kedua-dua koleksi itu di gerai Que Haidar yang terletak di Bangsar Shopping Centre, Bangsar, Sunway Putra Mall dan laman sosial instagram @qierahman.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 013-649 6969.