Serum essence mesra kulit pengguna



SERUM Repair Essence (Serum Essence) yang bernaung di bawah label Legacy Farisya merupakan salah satu daripada produk kecantikan yang boleh digunakan oleh orang ramai terutamanya bagi mereka yang ingin tampil berseri sepanjang hari.

Pengasas Legacy Farisya, Mohd. Faris Nafi berkata, serum tersebut yang turut dikenali dengan nama Serum Hijau dalam kalangan penggunanya boleh digunakan oleh golongan lelaki dan wanita.

Katanya, ia dirumus menggunakan bahan berkualiti tinggi yang dipercayai mengandungi pelbagai khasiat berguna untuk orang ramai, antaranya ekstrak tumbuhan seperti sel stem epal, aloe vera serta vitamin A dan C.

“Menggunakan rumusan berkenaan, Serum Essence boleh membantu pengguna untuk mengurangkan masalah seperti jerawat, jeragat, mengurangkan kesan parut dan lain-lain.

“Sejak dipasarkan pada Disember tahun lalu, kami mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pengguna yang menerima manfaat daripada serum itu dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari penggunaannya,” katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.


Ia dirumus daripada bahan berkualiti tinggi dan mengandungi pelbagai khasiat tersendiri.


Mengulas lanjut, Mohd. Faris berkata, Serum Essence boleh digunakan oleh mereka yang berusia 16 tahun ke atas serta sesuai dioles pada semua jenis permukaan kulit termasuk yang sensitif.

“Serum itu dijual pada harga yang mampu milik iaitu RM20 sahaja kerana kami mahu memastikan ia boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja di negara ini.

“Ia didatangkan dalam botol bersaiz lima mililiter dan boleh bertahan antara tujuh hingga 10 hari bergantung kepada cara penggunaan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama Legacy Farisya, Nur Syaza Syamira Mohd. Fikri berkata, serum berkenaan mudah untuk digunakan, dengan pengguna cuma perlu mencuci muka masing-masing sebelum menekan sekali atau dua kali pam yang terdapat pada produk kecantikan berkenaan ke tapak tangan.

Seterusnya, menurut beliau, oleskan serum tersebut pada wajah dan tunggu sehingga ia meresap ke dalam kulit sebelum mengenakan sebarang solekan asas.

“Pengguna tidak perlu berasa bimbang kerana Serum Essence telah dirumus agar ia boleh digunakan bersama dengan produk kecantikan lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan untuk menambah jumlah pengedar Serum Essence kepada 500 orang menjelang akhir tahun ini berbanding hampir 100 orang ketika ini.

“Bukan itu sahaja, kami juga berhasrat agar produk kecantikan itu berjaya dijual mencecah 100,000 botol pada Disember tahun ini,” ujarnya.