Derita hidap kanser ganjil

AMELIA yang sebelum ini menjalani rawatan kemoterapi di England kini mengikuti terapi pancaran proton di AS.


AMELIA BROME duduk termenung di bucu katil hospital sambil memikirkan nasib dirinya. Budak berumur 10 tahun itu hanya mahu hidup normal seperti kanak-kanak lain seusia dengannya.

Anak perempuan kepada pasangan Mick dan Cheryl Brome itu melalui hari-hari sukar sejak Januari tahun lalu selepas didapati menghidap sejenis kanser yang jarang ditemui.

Kanak-kanak itu disahkan menghidap rabdomiosarkoma atau ketumbuhan tisu lembut ganjil yang membesar pada bahagian dalam rongga hidung berhampiran otaknya.

Selepas dikenal pasti menghidap penyakit tersebut, dia dikehendaki menjalani rawatan kemoterapi di sebuah hospital di England.

“Ia membuatkan saya rasa mual, seolah-olah ada sesuatu membakar tekak saya,” kata Amelia sepe­r­ti dipetik portal Lancashire Post.

Meskipun sudah menjalani tiga sesi kemoterapi, kanser itu terus merebak menyebabkan Amelia kehilangan daya penglihatan pada mata kanannya.

Hal itu membuatkan dia bertambah sedih kerana merasakan dirinya tidak dilayan seperti kanak-kanak normal lain.

“Apa yang membezakan saya dengan orang lain ialah saya mempunyai ketumbuhan pada bahagian kepala. Saya hanya ingin kehidupan normal seperti orang lain,” ujarnya.

Pancaran proton

Memandangkan keadaan Amelia tidak bertambah baik, doktor menyarankan agar dia menjalani terapi pancaran proton. Bagaimanapun, rawatan lanjut itu hanya boleh didapati di Amerika Syarikat (AS) dengan kos seba­nyak AS$12,950 (RM55,613).

Dalam kaedah rawatan radio­terapi konvensional, sinar-X dipancarkan menembusi tumor sehingga boleh merosakkan tisu-tisu sihat di sekitarnya.

Kaedah terapi pancaran proton pula akan ditumpukan kepada ketumbuhan dan terhenti apabila ia mengenai tumor sekali gus menggalakkan pancaran dos lebih tinggi.

Amelia bernasib baik kerana dipilih Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang berpangkalan di England untuk menjalani rawatan tersebut.

Dengan sumbangan dana yang diperoleh daripada badan kebaji­kan dan orang ramai, dia diterbangkan ke AS untuk menjalani terapi pancaran proton selama tiga bulan.

Cheryl berkata, kesan sampingan jangka masa panjang akibat kemoterapi terhadap penyakit barah anaknya itu dapat dikurangkan menerusi kaedah rawatan berkenaan.

“Kesihatan Amelia merosot dengan begitu cepat. Dia sudah menjalani dua sesi terapi pancaran proton dan dia menunjukkan perkembangan positif. Setakat ini semuanya okey dan berjalan lancar. Saya mengharapkan rawatan ini dapat memberi harapan buat kami sekeluarga,” katanya.

Peringkat embrio

Rabdomiosarkoma adalah sejenis kanser sarkoma di mana sel-sel kanser didapati di bahagian tisu penghubung, tulang, rawan, otot dan lapisan sendi termasuk pembuluh darah.

Menurut Persatuan Kanser Amerika Syarikat, selepas tujuh minggu pembentukan embrio, sel dipanggil rabdomioblast yang membentuk otot skeletal akan terbentuk. Sel ini boleh menjadi rabdomiosarkoma.

Memandangkan penyakit ini merupakan kanser sel peringkat embrio, ia sangat umum dalam kalangan kanak-kanak walaupun turut terjadi pada orang dewasa.

Ia biasanya terjadi pada kanak-kanak dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan mereka.

“Sel rabdomiosarkoma kelihatan seperti sel otot yang sedang membentuk pada janin berusia antara enam hingga lapan minggu.

“Bahagian yang lazim terkena adalah kepala dan leher terma­suklah dalam rongga hidung, tekak, mata, serta tulang leher. Ia juga biasa terbentuk pada organ pembiakan termasuk di vagina, kelenjar prostat dan testikel selain di pundi kencing,” kata portal itu.

Kira-kira 60 orang kanak-kanak di Britain dan 175 kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun di AS didiagnosis menghidap rabdomiosarkoma di setiap tahun.

Di Malaysia, kanser itu disifatkan sebagai penyakit pembunuh yang paling sinonim dalam kalangan kanak-kanak dengan tujuh peratus kes pada tahun 2016.

Kanser paling tinggi adalah kanser darah atau leukemia dengan 40 peratus kes, barah otak (20 peratus), kanser kelenjar limfa (10 peratus), kanser saraf (8 peratus), kanser buah pinggang (7 peratus), lain-lain kanser (5 peratus) dan barah mata (3 peratus).

Punca penyakit tersebut masih belum dikenal pasti tetapi ia berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor termasuk genetik, radiasi, bahan kimia, gaya hidup dan persekitaran. Jenis-jenis kan­ser tersebut boleh dikenal pasti menerusi ujian darah, ujian sumsum tulang dan biopsi tisu.