Derita bersuamikan lelaki gay


ZARINA tidak menyangka suaminya meminati kaum sejenis. – Gambar hiasan


ZARINA, 38, merenung kosong ke arah gelas berisi air kopi di hadapannya. Sekali-sekala dia mengelap titisan air yang jatuh dari kelopak matanya.

Sayu hati wanita ini apabila mengenangkan perkahwinan yang didirikan hampir 13 tahun lalu bagai retak menanti belah angkara kelakuan suaminya sendiri.

Sepanjang bergelar isteri kepada Talib, 48, Zarina bukan sahaja diperlakukan seperti orang gaji, malah nafkah zahir dan batin juga diabaikan oleh lelaki durjana tersebut.

Semua itu berlaku selepas wanita ini selamat melahirkan satu-­­sa­­tunya cahaya mata mereka.

“Sebenarnya, perkara ini sudah lama berlaku dan ia menjadi konflik antara saya dan suami. Cuma sebelum ini, saya hanya memendamkannya seorang diri.

“Mahu diceritakan kepada keluarga, saya rasa tidak sedap hati pula. Lebih-lebih lagi apabila me­ngenangkan jodoh kami suami isteri diatur oleh ibu dan bapa saya,” jelasnya.

Menurut wanita yang bekerja sebagai seorang doktor gigi itu, sama seperti pasangan pengantin baharu yang lain, perkahwinan dia dan Talib indah pada awalnya.

Selain mempunyai ciri-ciri suami dan bapa yang penyayang, Talib juga disayangi oleh keluarga Zarina kerana sikap ringan tulang dan mesranya terhadap keluarga mertua.

Bagaimanapun, tanpa diduga, episod kebahagiaan pasangan suami isteri itu tidak bertahan lama. Talib mula berkelakuan dingin sebaik anak tunggal mereka selamat dilahirkan.

“Sebelum kami berkahwin, saya sempat keluar beberapa kali dengan Talib untuk mengenali hati budinya.

“Daripada pandangan mata kasar, Talib memang seorang lelaki yang sempurna dan calon yang sangat diidamkan oleh setiap wa­nita untuk dijadikan suami.

“Bagaimanapun, layanannya terhadap saya sedikit demi sedikit berubah selepas saya disahkan hamil dua bulan. Biarpun begitu, hubungan dia dan keluarga saya tetap mesra seperti dahulu,” jelasnya.

Cita rasa pelik

Disebabkan enggan memanjangkan cerita, Zarina hanya mendiamkan diri.

Menurut wanita ini lagi, perangai sebenar Talib terbongkar satu demi satu sebaik sahaja anak mereka mencecah usia dua tahun.

Lebih menyedihkan wanita itu apabila dia mendapati suaminya mempunyai cita rasa pelik iaitu meminati kaum sejenisnya.

“Berat hati saya untuk menu­duh suami sendiri dengan perkara-perkara yang tidak elok.

“Bagaimanapun, mahu atau tidak, saya terpaksa telan ke­semua itu selepas menemui kiriman WhatsApp manja daripada seorang kenalan lelaki.

“Lebih menyedihkan hati saya apabila melihat mereka saling bertukar gambar kemaluan masing-masing. Patutlah selama ini dia tidak mahu ‘menyentuh’ saya, rupa-rupanya ada ‘teman’ lain yang berjaya memenuhi tuntutan nafsu lelakinya,” jelasnya.

Bukan sekadar menemui kiriman WhatsApp manja, malah Zarina menemui kondom di dalam kereta Talib.

Tidak cukup dengan itu, Zarina juga pernah menemui cakera padat yang memaparkan aksi hubungan sejenis di dalam kenderaan suaminya.

Disebabkan tidak tahan dengan situasi tersebut, Zarina mengambil keputusan untuk bersemuka dengan Talib.

Sangka wanita ini, suaminya akan berubah dan menyesali perbuatan jijiknya itu. Namun, perkara sebalik­nya pula berlaku.

Zarina bukan sahaja diherdik, malah dia dan anaknya dikatakan memberi bebanan kepada lelaki tersebut.

“Tergamak Talib berkata sedemikian. Padahal gaji saya lagi besar daripada gajinya.

“Sudahlah begitu, hal-hal berkaitan anak dan rumah banyak diuruskan saya seorang diri. Duit nafkah usah dikata. Satu sen pun tidak diberinya,” jelas Zarina.

Walaupun tidak pernah dipukul, namun Zarina akui dia mengalami penderaan mental yang teruk oleh suaminya.

Selain diherdik di hadapan ke­luarga mertua dan rakan-rakan Talib, Zarina juga sering dilabel sebagai perempuan hodoh dan tidak berguna.

Bulan berganti bulan, hubungan Zarina dan Talib langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk pulih.

Sekeras kerikil

Walaupun dikurniakan anak pe­rempuan yang comel dan cerdik, namun, itu tidak berjaya melembutkan hati Talib yang sekeras kerikil.

“Ketika anak saya berumur 10 tahun, saya pernah membawanya bercuti ke sebuah pusat peranginan tanpa pengetahuan suami.

“Saya sangka suami tidak akan mempedulikan kehilangan kami anak-beranak. Bagaimanapun, perkara sebaliknya pula berlaku.

“Sebaik sahaja mengetahui lokasi percutian, dia segera datang dan membawa kami pulang ke rumah dalam keadaan yang sangat marah,” jelasnya.

Menurut wanita itu lagi, dia pernah meminta Talib untuk menceraikan dirinya beberapa kali.

“Setiap kali saya minta untuk diceraikan, Talib akan memujuk saya semula dan kembali melayan kami dua beranak dengan baik.

“Bagaimanapun, layanan tersebut hanyalah sementara kerana perangai sebenarnya akan muncul beberapa hari kemudian.

“Buat masa sekarang, saya hanya mampu berdoa agar diberi kekuatan untuk menempuh kehidupan rumah tangga yang penuh berliku ini,” jelasnya.