Semakan jadual penerbangan haji menerusi aplikasi THiJARI

10/07/2017 6:43pm


Tabung Haji.


KUALA LUMPUR - Bakal jemaah haji kini boleh membuat semakan jadual penerbangan masing-masing menerusi aplikasi THiJARI 2.0 yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata,

perkhidmatan itu satu daripada penambahbaikan aplikasi THiJARI yang pertama kali dilancarkan pada 2014.

Selain semakan jadual penerbangan, beliau berkata, pendeposit TH juga boleh mendapatkan nombor giliran secara dalam talian sebelum berurusan di kaunter cawangan TH berdekatan menerusi perkhidmatan MyQ TH, dibawah aplikasi yang sama.

“Aplikasi THiJARI 2.0 yang boleh dimuat turun menerusi Google Play dan App Store secara percuma akan memudahkan pendeposit kita yang melebihi sembilan juta membuat pelbagai urusan dengan TH hanya di hujung jari,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu dan Majlis Sambutan Aidilfitri TH di sini hari ini.

Selain itu, Abdul Azeez berkata, aplikasi berkenaan turut membolehkan pendeposit menyemak status pendaftaran dan tawaran haji, mengemas kini akaun, pendaftaran serta semakan keahlian kelab TaHa, informasi berkaitan TH, direktori, berita terkini, promosi dan e-majalah. - Bernama