Baju kurung mini batik canting Guzel Couture


Mini kurung Leely menggunakan warna pastel yang menyerlahkan keayuan dan kejelitaan si pemakai.


KEINDAHAN batik canting diterapkan ke dalam rekaan baju kurung mini jenama Guzel Couture yang menjadi penambah seri serta membuat pemakai kelihatan anggun mempesona.

Menurut pemiliknya, Nadirah Nor Akmal, 34, busana tersebut berkonsep moden dengan sentuhan elemen batik yang menggunakan teknik cantingan tangan.

“Corak yang dihasilkan juga sangat eksklusif kerana kami mempunyai pereka batik profesional dari Kelantan bagi memastikan ia sentiasa segar dan memukau pandangan.

“Setiap helaian batik mempunyai kepelbagaian warna serta corak untuk memastikan para pelanggan mendapat kepuasan kerana motif yang digunakan hanya terdapat di Guzel Couture,” katanya yang juga menjalankan perusahaan membekal kain batik canting.

Tambah Nadirah, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan fesyen semasa dan mengaplikasikan corak moden ke dalam elemen batik supaya setiap rekaan sesuai digayakan oleh pelbagai lapisan umur.

Bercerita mengenai kurung mini keluaran jenama tersebut, wanita berasal dari Pulau Pinang itu memberitahu, dia menampilkan sebanyak 18 rekaan busana dengan corak batik canting yang sangat menarik.

Antara 18 busana itu ialah Delila, Hessya, Sarah, Aisya, Qessya, Fucsia, Leely, Numero, Crazia, Allure dan Elle.

Leely menggunakan warna pastel yang menyerlahkan keayuan dan kejelitaan si pemakai, manakala Hessya memberikan imej anggun dengan padanan rona hitam sebagai latar.


BUSANA ini boleh dibeli secara online atau di butik Muslim Flava yang terletak di Ayer 8, Putrajaya.


Langsing

Ujar Nadirah, busana itu menggunakan fabrik kain kapas viscose dan direka dengan potongan kurung mini serta kain duyong membuatkan pemakai kelihatan lebih langsing.

“Kami banyak menggunakan corak abstrak dan bunga-bungaan yang mengikut perkembangan arus semasa.

“Begitu juga penggunaan warna yang menjadi kesukaan masyarakat pada hari ini seperti biru diraja dan pastel. Rona hitam pula sentiasa menjadi pilihan pengguna kerana ia kelihatan sangat kemas serta bergaya,” jelasnya.

Menariknya, baju kurung mini itu boleh digayakan ke pelbagai acara sama ada formal, kasual atau santai.

Ia boleh dipadankan dengan seluar atau kain mengikut kesesuaian tempat atau majlis.

Saiz yang disediakan bermula XS hingga XXL dengan harga yang

sangat berpatutan iaitu bermula RM150 hingga RM320.

Guzel Couture turut membuka tempahan baju dengan corak batik canting yang eksklusif dengan mengambil masa kira-kira dua minggu.

Pelanggan boleh membeli busana-busana jenama tersebut secara online atau di butik vendor iaitu Muslim Flava yang terletak di Ayer 8, Putrajaya.

Ujar Nadirah lagi, pihaknya turut menyediakan 12 baju yang bercorak sedondon untuk digayakan bersama anak-anak tersayang.