Mios Kitchen tawar sajian Barat

MIOR AZIM (duduk) bersama kakitangannya di depan Restoran Mios Kitchen di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


Umum mengetahui restoran masakan Barat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan namun bukan mudah mahu mencari yang menepati cita rasa dan dijual pada harga berpatutan.

Bagaimanapun, ciri-ciri hidangan itu kini boleh dinikmati di restoran Mios Kitchen yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor yang mula beroperasi 1 Mei lalu.

Sesuai dengan slogan restoran, lazat dan berpatutan, hidangan yang ditawarkan antaranya grill chicken chop, rib eye steak, nasi goreng chicken chop dan spageti lamb chop pastinya menambat selera setiap pelanggan.

Bagi pelanggan yang datang secara berkumpulan dan mahu menikmati pelbagai sajian, usah gusar kerana Mios Kitchen menawarkan hidangan dalam bentuk kombo pada harga lebih berbaloi.

Menariknya, kombo tersebut diberi nama adiwira kesukaan ramai antaranya Ironman, Cat Girl, Captain America dan Hulk bertujuan bagi menarik perhatian pelanggan.

Pengarah Mios Gastronomy Group Sdn. Bhd., Mior Azim Badalishah, 32, memberitahu, kesemua menu yang terdapat di Mios Kitchen merupakan pilihan utama pelanggan.

Katanya, pihaknya sentiasa membuat penilaian setiap enam bulan bagi memastikan sajian yang dijual menepati kehendak pelanggan.


Hidangan set kombo Captain America yang pastinya menambat selera.


“Resipi bagi setiap menu merupakan cetusan idea saya sendiri yang mahu menyajikan hidangan terbaik dan lazat pada harga berpatutan kepada pelanggan.

Pilihan ramai

“Bagi hidangan ala carte yang menjadi pilihan ramai ialah grill chicken chop dan set kombo pula ialah Captain America yang menawarkan dua keping chicken chop, spageti seafood aglio olio, bebola daging dan kentang lenyek, kentang goreng serta garden salad,” ujarnya.

Set kombo Captain America berharga RM39.90. Bagi sajian utama seperti grill chicken chop bersama dua hidangan sampingan dan sos, ia dijual pada harga RM13.90 sahaja.


Sebahagian menu paling istimewa dan laris yang ditawarkan kepada pelanggan.


Mior Azim yang merupakan graduan Diploma Seni Kulinari dari Kolej MSU memberitahu, dia menitikberatkan soal kebersihan dalam menyediakan hidangan.

“Paling penting, kami sentiasa menggunakan bahan-bahan yang segar dan berkualiti bagi menjamin rasa dan kelazatan setiap hidangan. Kepuasan pelanggan merupakan keutamaan kami,” ujarnya.

Menurutnya, selain sajian Barat, Mios Kitchen turut menawarkan hidangan lain antaranya nasi kukus ayam berempah, nasi kambing penyet, nasi kukus bawal goreng dan nasi keli penyet bagi memberi pilihan kepada pengunjung.

“Kami turut menawarkan sajian ramen ayam pedas, ramen bebola daging pedas dan ramen kambing pedas.

“Bagi penggemar kek, mereka juga boleh menikmati keenakan Hershey chocolate cake, Oreo cheese cake, cream brulee dan pavlova di restoran ini,” katanya.