Israel tahan Mufti Baitulmuqaddis

GAMBAR fail Muhammad Ahmad semasa bergambar di hadapan Dome of Rock berdekatan masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis pada 6 November 2015.- AFP


RAMALLAH, Palestin – Anggota keselamatan Israel menahan seorang ulama tertinggi Islam di Baitulmuqaddis susulan satu serangan kelmarin yang menyebabkan dua anggota polis berketurunan Yahudi terbunuh, kata anak ulama berkenaan.

Mufti Besar Baitulmuqaddis, Muhammad Ahmad Hussein sebelum itu berada di Kota Lama bersama-sama orang ramai dan mengutuk penutupan masjid Al-Aqsa untuk solat selepas serangan terbabit.

Polis Israel berkata, mereka tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung penahanan itu.

Anak lelaki Muhammad Ahmad, Jihad Hussein memberitahu AFP bahawa bapanya telah dibawa ke sebuah balai polis berhampiran Kota Lama.

Salah seorang pengawal peribadi mufti tersebut, Khaled Hamo pula berkata, polis menyerbu orang ramai dan menangkap mufti itu.

Dalam kejadian kelmarin, tiga orang Arab Israel melepaskan tembakan terhadap polis Israel dan mengakibatkan dua daripada mereka terbunuh sebelum melarikan diri ke kawasan suci itu.

Anggota keselamatan telah mengepung kawasan itu manakala masjid Al-Aqsa ditutup untuk solat Jumaat selepas serangan tersebut.

“Saya hanya mempunyai sedikit maklumat tentang kejadian itu, namun tidak bermakna kamu perlu menutup masjid itu untuk solat,” katanya kepada pemberita di pintu masuk Lions Gate di Kota Lama berhampiran kawasan suci itu. – AFP