Korea Utara miliki banyak senjata nuklear


IMEJ satelit yang didedahkan oleh 38 North kelmarin menunjukkan kedudukan makmal radiokimia di tapak nuklear Yongbyon, Korea Utara.- REUTERS


WASHINGTON – Beberapa imej haba di tapak utama nuklear Korea Utara menunjukkan Pyongyang mungkin telah memproses lebih banyak plutonium berbanding apa yang dijangkakan oleh dunia sebelum ini.

Aktiviti di tapak berkenaan membuktikan bahawa Korea Utara mempunyai stok senjata nuklear yang besar, kata sebuah badan kumpulan pemikir Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Analisis oleh 38 North yang me­laksanakan projek pemantau Korea Utara di Washington mendedahkan imej-imej satelit perkembangan makmal radiokimia di loji nuklear Yongbyon sejak September 2015 hingga akhir Jun lalu.

Imej itu didedahkan di tengah-tengah peningkatan kebimbangan antarabangsa berhubung program senjata nuklear dan kemajuan yang dicapai oleh peluru berpandu Korea Utara.

Kumpulan pemikir itu berkata, gambar kemudahan bagi meningkatkan keupayaan uranium di Yongbyon turut menunjukkan operasi pengasingan yang boleh digunakan untuk meningkatkan simpanan uranium iaitu sumber lain untuk bahan api.

“Terdapat kesan aktiviti jangka pendek di Reaktor Eksperimen Air Korea Utara yang mungkin mencetuskan kebimbangan.

“Gambar makmal radioaktif me­nunjukkan sekurang-kurangnya dua pusingan pemprosesan semula yang tidak diketahui sebelum ini dan bertujuan menghasilkan sejumlah plutonium bagi meningkatkan lagi simpanan senjata nuklear Korea Utara,” kata 38 North.

Perkembangan itu sekali gus mengundang kebimbangan kepada pegawai AS yang melihat Pyongyang sebagai salah satu ancaman terhadap keselamatan dunia.

Tidak jelas sama ada aktiviti haba yang dikesan di loji uranium itu adalah hasil operasi pengasingan atau kerja-kerja penyelenggaraan.

Korea Utara yang menghasilkan bom nuklear menggunakan uranium dan plutonium setakat ini sudah menguji lima bom nuklearnya.

Beberapa pakar dan pihak keselamatan berkata, Pyongyang mungkin menguji bom nuklear keenam pada bila-bila masa walaupun usaha antarabangsa yang diketuai AS cuba membendung program senjata negara itu. – Reuters