Dendam Aurora adaptasi telenovela Itali


UNGKU ISMAIL (kiri) memegang watak utama sebagai Harris yang merupakan pemilik ladang teh.


LAZIMNYA sesebuah jalan cerita bagi drama itu diangkat menerusi adaptasi karya-karya novel tempatan. Bagaimanapun, sebuah karya terbaharu yang bakal disiarkan menerusi saluran Astro Prima berjudul Dendam Aurora menjadi taruhan istimewa buat penonton kerana naskhah tersebut diadaptasi daripada sebuah telenovela Itali.

Diarahkan oleh sutradara Feroz Kader dan Muhd. Riza Baharudin, drama bersiri 100 episod yang mengangkat kisah konflik kekeluargaan itu diolah daripada karya asal berjudul Tuscan Passion.

Lebih menarik, gandingan barisan pelakon yang menjayakan drama bersiri tersebut juga menggunakan nama-nama besar antaranya Anzalna Nasir, Nabila Huda, Ungku Ismail dan Dian P. Ramlee. Antara pelakon lain yang turut membintangi drama tersebut termasuklah Asyraf Muslim, Zila Bakarin, Chew Kim Wah, Shah Iskandar dan Aedy Ashraff.

Semestinya, karya itu antara yang ditunggu-tunggu penonton lebih-lebih lagi cerita asalnya daripada naskhah luar negara. Apatah lagi, drama asal tersebut juga merupakan antara karya popular yang berjaya mencuri hati penonton di negara asalnya.

Bagi Anzalna sendiri, pembabitannya dalam drama tersebut memberi satu pengalaman baharu buatnya.

“Dalam drama itu, saya memegang watak sebagai Putri Adrina yang merupakan tunangan kepada Harris lakonan Ungku Ismail.

“Ia mengisahkan sebuah keluarga yang cuba mendapatkan kembali maruah keluarganya. Pada masa sama, berlaku juga konflik percintaan dalam usahanya untuk mendapatkan hak yang pernah dirampas sebelum ini,” kata Anzalna kepada Sensasi Bintang.

Bakal ditayangkan bermula 25 Julai ini, drama tersebut kini masih lagi menjalani penggambaran di beberapa tempat sekitar Semenanjung.

“Jadual penggambaran memang padat. Memandangkan ia merupakan sebuah drama bersiri yang cukup panjang, jadi penggambaran masih berlangsung biarpun drama itu sudah mula ditayangkan.

“Kalau ikutkan pada jadual diberikan, penggambaran akan berjalan hingga November depan. Sebab itu kami semua akan sibuk di set untuk beberapa bulan ini,” katanya lagi.


PELAKON berpengalaman, Dian P. Ramlee antara yang menjayakan drama bersiri 100 episod ini.


Semestinya, sinematografi drama tersebut menjanjikan sesuatu paparan yang menarik buat penonton apabila menjadikan Cameron Highlands sebagai lokasi penggambaran. Ia bersesuaian dengan jalan cerita yang menggambarkan sosio ekonomi masyarakat di negara ini yang mengusahakan perniagaan ladang teh dan sayuran.

“Dalam cerita itu, saya memegang watak sebagai anak kepada pengusaha ladang sayur yang kemudian bercinta dengan Harris yang merupakan pengusaha ladang teh,” kongsinya.

Drama bersiri Dendam Aurora mengisahkan perjuangan sebuah keluarga yang mahu mendapatkan kembali maruah yang tercela selepas dituduh terlibat dalam kes pembunuhan. Pada masa sama, ia menceritakan kegigihan seorang wanita yang mahu membina semula syarikat keluarga yang hampir muflis gara-gara hasad dengki orang sekeliling yang cuba memusnahkan perniagaan keluarganya.

Drama terbitan Global Station Sdn. Bhd. itu turut ditayangkan di saluran Maya HD (135) setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 6 petang.