Bahaya ekzema atopik hari raya

KULIT pesakit boleh menjadi kemerah-merahan jika terdedah dengan persekitaran yang tidak sihat.


SEPERTI yang diketahui umum, ekzema atopik yang juga dikenali sebagai atopic dermatitis merupakan sejenis penyakit kulit yang kerap dialami oleh kebanyakan individu di seluruh dunia.

Penyakit tersebut menyebabkan pesakitnya menderita radang kulit yang kemudian mencetuskan ruam teruk sehingga menyebabkan rasa sakit dan ketidakselesaan yang berpanjangan.

Menurut Pakar Runding Dermatologi di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Tarita Taib, dianggarkan sebanyak 85 peratus kanak-kanak dan 30 peratus golongan dewasa menghidap ekzema atopik.

“Ekzema atopik merupakan satu bentuk alergi atau alahan yang berpunca daripada sistem kekebalan tubuh yang tidak normal sehingga membawa kepada kerosakan kulit.

“Sebenarnya punca penyakit ini masih belum jelas. Bagaimanapun, ia berkemungkinan disebabkan oleh faktor genetik dan persekitaran.

“Walaupun ekzema atopik boleh menjangkiti sesiapa sahaja, namun dalam kebanyakan kes, ia lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak,” jelasnya.

Sehubungan itu, pemantauan yang lebih perlu diberikan kepada kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun kerana pada peringkat umur tersebut, ekzema atopik boleh menjadi serius dan menjejaskan kesihatan mereka.

Kulit bersisik

Lazimnya, penghidap eksema atopik mengalami simptom-simptom kulit sensitif seperti kulit kering, kegatalan di tempat yang sama secara berulang, ruam dan timbulnya kemerahan pada kulit.

Bagaimanapun, bagi sesetengah kes, kulit pesakit boleh bertukar menjadi keras, tebal dan membengkak selain bersisik terutamanya pada tangan, kulit siku dan lutut.

“Justeru, pesakit terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang menghidap ekzema perlu menitikberatkan penjagaan kesihatan bagi mengelakkan kesan yang lebih serius terutamanya pada musim perayaan kerana ia lebih mudah merebak dan menjadi teruk pada bila-bila masa.

“Antara faktor-faktor yang menyebabkan penyakit menjadi lebih kronik pada musim perayaan ialah makanan, cuaca, pemakaian baju raya dan penggunaan aksesori seperti rantai yang tinggi kandungan logam kuprum selain jangkitan bakteria atau fungus,” ujarnya.

Biarpun begitu, jelas Tarita lagi, makanan merupakan penyumbang utama yang menyebabkan kulit pesakit ekzema menjadi semakin teruk kerana pada musim perayaan, individu cenderung untuk tidak mempedulikan kandungan makanan yang diambil.

Lebih-lebih lagi apabila kebanyakan makanan terutamanya kuih-muih dan kek yang dihidangkan pada musim pera­yaan mempunyai telur, kekacang, oat, kayu manis serta gandum yang merupakan penggalak masalah ekzema.


EKZEMA pada kulit boleh menimbulkan kegatalan dan ketidakselesaan yang berpanjangan kepada pesakit.


Kerap tukar pakaian

“Bagi pakaian pula, mereka seelok-eloknya menggunakan pakaian fabrik serap peluh seperti kapas dan sutera.

“Ini kerana, peluh yang timbul pada liang roma dan terperangkap pada fabrik baju boleh menyebabkan ekzema menjadi semakin teruk,” jelasnya.

Tambah Tarita lagi, bagi mengelakkan perkara itu terjadi, mereka boleh mengambil beberapa pendekatan se­perti kerap menukar pakaian selepas melakukan sebarang aktiviti.

“Bukan itu sahaja, mereka juga boleh menggunakan pelembap khas, steroid untuk keradangan dan ubat antigatal.

“Selain itu, mereka juga boleh me­ngurangkan penggunaan cecair pencuci, pewangi, kosmetik, debunga dan makanan tertentu kerana ia boleh menimbulkan alergi yang teruk pada kulit,” jelasnya.

Dalam pada itu, penghidap ekzema tidak disarankan menggunakan sabun atau mandian berbuih sebaliknya menggunakan pembersih dan pelembap yang bukan sahaja berfungsi sebagai pelindung tetapi juga pelembap kulit.