Kuasa tembakan darat gerunkan musuh


KUASA tembakan kereta kebal Pendekar mampu membingitkan penonton yang hadir.


KEHENINGAN pagi di Asahan, Melaka mula bertukar hangat tatkala matahari mula terbit. Ufuk selatan mula kelihatan berselang-seli dengan kabus dinihari dengan Gunung Ledang menjadi latar belakang pemandangan.

Namun, ketenangan pagi itu terganggu dengan deruan enjin tujuh kereta perisai model ACV 300 (Adnan) membawa masuk infantri mekanise Kompeni Alpha daripada Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ke Pos Pemerhati Tiga (OP3), Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan yang bersempadan de­ngan Asahan, Melaka.

Anggota Kompeni Alpha kemudian tangkas keluar dari kereta perisai berkenaan lalu mengambil posisi masing-masing. ‘Musuh’ yang terletak di sasaran Nombor 4 itu diserang bertalu-talu oleh kompeni tersebut menggunakan raifal Colt M4A1 5.56 mili­meter (mm), pelancar roket RPG-7 40mm, pelancar grenad M203 dan submesingan FN Minimi 5.56mm. Tidak ketinggalan, Adnan turut melepaskan tembakan dengan meriam M242 Bushmaster 25mm.

Musuh mula membalas tembakan. Mortar 81mm dan 120mm yang dibawa oleh Adnan mula ber­aksi membalas tembakan sebelum sistem misil antikereta kebal, Metis-M yang dipasang pada kenderaan G-wagon turut memasuki OP3 dan menyerang musuh.


Infantri mekanisme Kompeni Alpha Batalion ke-14 RAMD menembak RPG-7.


Tempoyak Satup

Senario itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada Segmen Dinamik, Latihan Kuasa Tembakan Tentera Darat (LKT) 2017 yang dapat dirasai kru Jurnal di Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dalam latihan yang menguji kekuatan angkatan gabungan itu, seramai 1,690 pegawai dan anggota dari 3 Divisyen terlibat dalam LKT 2017.

Acara tahunan itu bertujuan untuk mendedahkan siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia dari Maktab Turus Angkatan Tentera mengenai keupayaan pergerakan dan kuasa tembakan Tentera Darat. Kursus itu menyaksikan penyertaan 120 siswa tempatan dan 45 siswa luar negara.

Dari pintu masuk kem, wakil media dan penonton lain dibawa melalui jalan merah di tengah-te­ngah hutan selama beberapa kilometer sebelum tiba ke lapang sasar.

Sebanyak 10 sasaran diletakkan dengan jarak yang berbeza. ‘Musuh’ dalam senario pertempuran itu terdiri daripada trak dan lori tentera terpakai.

Selepas demonstrasi oleh Adnan dan Kompeni Alpha, Segmen Dinamik diteruskan dengan demonstrasi kuasa tembakan oleh empat buah kereta berperisai AV8 Gempita dengan dua varian iaitu 25mm dan 30mm. Gempita milik Tentera Darat itu mampu berge­rak pada kelajuan maksimum 100 kilometer sejam.

Memasuki lapangan, enam buah kereta kebal PT91M Pendekar turut mempamerkan keupayaan, kestabilan dan kekuatan tembakan­nya. Dilengkapi dengan laras 125mm smoothbore gun, kuasa tembakan enam Pendekar itu mampu membingitkan penonton yang hadir.

Pertunjukan diteruskan dengan kehadiran dua helikopter jenis Agusta A109 LOH yang dilengk­apkan dengan Gatling Gun 7.62mm. Diketuai oleh Mejar Khalid Ismail, formasi helikopter yang dipanggil dengan call sign, Tempoyak Satup itu dikerahkan untuk melindungi pendaratan sebuah Me­riam 105mm PH L5 yang dibawa oleh dua helikopter A-4 Nuri. Sebanyak dua lagi detachment meriam 105mm dibawa untuk menambah kuasa tembakan terhadap musuh.

Lapan meriam jenis 155mm G5 MKIII milik Rejimen Artileri Diraja turut menunjukkan kuasa tembakannya. Meriam tersebut mampu menembak sehingga 39 kilometer pada kadar tiga butir peluru seminit. Aset terakhir yang menunjukkan kuasa tembakan ialah dua Sistem Pelancar Roket Berganda (MLRS) Astros II.


Pesawat FA 18D Hornet melepaskan suar semasa LK 2017 baru-baru ini.


Taring Singa

Segmen Dinamik ditutup dengan kuasa tembakan oleh ke­semua aset serentak. Penonton kemudian dibawa ke Pos Pemerhati Tiga A (OP 3A) untuk segmen kedua.

Segmen Tembakan Tidak Langsung bertujuan menguji keupayaan operasi Tentera Darat bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pada segmen tersebut, dua pesawat jenis Hawk 208 garang mendominasi ruang udara di kem itu dan menunjukkan ketangkasan di udara sebelum mengebom sasaran dengan roket FZ. Ia disusuli dengan tiga pesawat F/A 18D Hornet dalam formasi yang diberi call sign, Taring Singa membedil sasaran dengan bom MK 82.

Mengulas mengenai pengli­batan TUDM dalam operasi bersama Tentera Darat, Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Faudzi Ahmad berkata, kuasa udara berperanan memberi bantuan kepada operasi pasukan darat.

“Dalam senario pertempuran darat, aset-aset TUDM akan memulakan operasi di medan perang dan meneutralkan ancaman-ancaman darat dengan kuasa udara.

“Selepas itu barulah elemen pasukan darat seperti artileri dan infantri akan bergerak memusnahkan saki baki musuh.

“Kuasa tembakan yang lebih besar dengan bantuan TUDM akan beri kelebihan kepada pasukan Tentera Darat dalam operasi mereka,” ujarnya.