Ziyad terhebat di dunia

ZIYAD menjadi kebanggaan negara selepas mencipta rekod dunia dalam acara lontar peluru kategori F20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London awal pagi kelmarin.


ATLET paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli terus membuktikan kehebatannya selaku jaguh terbilang di dunia.

Kelmarin, atlet berusia 27 tahun itu mencipta rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru lelaki kategori F20 (masalah pembelajaran) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada kejohanan yang berlangsung di Queen Elizabeth Olympic Park, London itu, Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.29 meter (m), sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya yang dilakukan pada Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun lepas iaitu 16.48m.

Pingat perak acara tersebut diraih atlet dari Ecuador, Stalin David Mosquera dengan jarak lontaran sejauh 16.61m. Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2012, Tod Hodgetts dari Australia membawa pulang gangsa dengan lontaran sejauh 15.94m.

“Saya datang ke sini (London) dengan satu misi iaitu membawa pulang kejayaan kepada negara. Ini adalah rekod dunia kedua yang saya lakukan setakat ini. Saya berasa sangat bangga dan ini adalah hasil latihan yang telah saya lalui selama ini.

“Saya bangun pagi ini (kelmarin dan berfikir sama ada dapat mencipta rekod dunia baharu.

“Saya selalu berazam untuk melakukannya dan malam ini (kelmarin) saya berjaya merealisasikannya.

“Saya benar-benar tertekan apabila melihat jarak lontaran yang dibuat atlet Australia tetapi saya tahu ia tidak begitu jauh,” katanya.

“Saya sangat gembira menjuarai acara ini,” kata Ziyad.

Catatan yang dilakukan oleh Ziyad itu dilihat menghampiri rekod acara lontar Sukan SEA oleh atlet normal iaitu 17.74m milik Chatchawal Polyiam dari Thailand.

Berdasarkan pencapaiannya di London kelmarin, Ziyad yang turut beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos nanti dilihat berpeluang menghadiahkan pingat buat kontinjen negara walaupun terlaksa bersaing dengan atlet normal.