Kasma ungguli aksi di MAEPS


KASMA mengungguli Pusingan 5 di MAEPS, Serdang semalam selepas menguasai perlumbaan sejak pusingan awal.


PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasma­yuddin berjaya mengungguli Pusi­ngan 5 Kejuaraan Petronas AAM Malaysia Cub Prix bagi kategori CP150 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang semalam.

Pulang seketika ke Malaysia selepas le­bih sebulan beraksi pada Kejuaraan Dunia Moto3 Junior menyaksikan prestasi Kasma masih belum ‘berkarat’ apabila dia selesa mengungguli perlumbaan sejak awal saingan sehingga ke garisan penamat de­ngan mencatat masa 15 minit 59.423 saat untuk meraih kejuaraan tersebut.

Pelumba kelahiran Johor itu ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mempamerkan tunggangan yang cukup memukau termasuk meninggalkan rakan sepasukannya, Md. Ramdan Rosli di tempat kedua dengan perbezaan enam saat.

“Ini memang strategi yang saya rancang untuk perlumbaan di sini. Saya cuba untuk meninggalkan pesaing saya sejak awal dan sejauh mungkin kerana tidak mahu mereka memberikan cabaran se­ngit pada penghujung perlumbaan.

“Kemenangan ini juga penting untuk saya kerana saya mampu mendapat mata maksimum kerana sekiranya saya terlepas perlumbaan pusingan berikutnya selepas ini (menyertai Kejuaraan Dunia Moto3 Ju­nior), kutipan mata saya tidak jauh ketinggalan,” kata Kasma yang turut menduduki tempat pertama bagi kategori pelumba.

Dalam saingan tersebut, Md, Ramdan berjaya meraih tempat kedua selepas mencatat 16:08.169s, manakala pelumba Petronas Sprinta Yamaha–CKJ, Ahmad Afif Amran berjaya meraih podium ketiga biarpun memulakan perlumbaan di petak keenam.

Sementara itu, dalam kategori CP115, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan GiVi Honda Yuzy Racing berjaya memecah dominasi apabila melakar kemenangan menewaskan pendahulu keseluruhan, Mohd. Akid Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor selepas me­raih kemenangan dengan melakukan ca­tatan 12’20.772s.

Perlumbaan tersebut berlangsung dalam keadaan sengit apabila Azroy yang berada di hadapan berjaya menyekat kemaraan Akid yang memburu kemena­ngan keempat berturut-turut. Dia menamatkan saingan dengan 0.080s lebih pantas selain kedua-dua mereka turut dicabar pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang, Tengku Amirul Haffiruddin.

Bagaimanapun, hajat Tengku Amirul untuk bersama-sama menaiki podium tidak kesampaian apabila dia terjatuh pada pusingan terakhir, sekali gus membuka peluang untuk rakan sepasukan Akid, Mohd Haziq Mohd Fairues meraih tempat ketiga.

Bagi kategori Wira, pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, Mohd Syarifuddin Azman berjaya merangkul kemenangan pertama musim ini selepas melakukan catatan 9’57.276s, sekali gus menewaskan pendahulu kejuaraan, Mohd. Aiman Tahiruddin daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha-AFB Tech di tempat kedua.

Tempat ketiga dimenangi oleh pelumba Elf Koyoko KC Racing Team, Md. Syafieq Aiman.