Peniaga buah didakwa cuba rasuah polis RM5,000

17/07/2017 11:49am


Tertuduh ketika dibawa diiring keluar selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen pagi tadi.


KOTA BHARU - Seorang peniaga buah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba merasuah anggota polis RM5,000 bagi melepaskannya daripada ditahan kerana memiliki dadah dan senjata buatan sendiri di Pasir Puteh minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Nazri Mohd. Noor, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Mohd. Nazri didakwa menawarkan suapan RM5,000 dengan menyerahkan kad Bank Simpanan Nasional berserta nombor pin kepada Koperal Hadi Hasan yang bertugas di Balai Polis Pasir Puteh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam kereta peronda polis jenis Proton Iswara bernombor pendaftaran WPR 4388 kira-kira pukul 12.45 tengah hari pada 5 Julai lalu.

Peniaga buah itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shahidah Muslimah Roslan, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Noor Nazri Nik Soh.

Hakim, Nazri Ismail kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Ogos depan - K! ONLINE