Ops. Pagar Laut berjaya tahan 87 nelayan asing, rampas RM34 juta hasil laut, bot di Pantai Timur

17/07/2017 3:45pm


APMM


KUALA TERENGGANU - Ops Pagar Laut oleh penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu yang berakhir baru-baru ini berjaya menahan seramai 17 bot nelayan asing yang disyaki mencerobohi perairan negara.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Datuk Mamu Said Alee berkata, operasi yang dilancarkan dalam tempoh sebulan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu turut berjaya merampas hasil laut dan bot berjumlah kira-kira RM34 juta.

Beliau berkata, sebanyak 600 pemeriksaan terhadap bot nelayan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa APMM di perairan Terengganu sepanjang pelaksanaan Ops Pagar Laut dari 10 Jun hingga 9 Julai lalu.

"Seramai 87 nelayan asing berusia dalam lingkungan 21 hingga 61 tahun yang kebanyakannya merupakan warga Vietnam telah berjaya ditahan dalam operasi terbabit.

"Kesemua mereka didapati bukan sahaja tidak mempunyai dokumen perjalanan sah malah tidak mempunyai permit kerja dan melanggar syarat penangkapan ikan di perairan negara," katanya.

Beliau berkata dekimian selepas menyaksikan majlis serah tugas antara Pengarah Maritim Terengganu antara Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh dan Kepten Maritim Rahim Ramli di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE