SPRM geledah FIC 8 jam


Pasukan penyiasat SPRM membawa keluar dokumen-dokumen yang dirampas dari pejabat FIC di Balai Felda di Jalan Gurney 1 semalam.


KUALA LUMPUR – Sepasukan lapan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa hampir lapan jam menggeledah dan merampas dokumen-dokumen berhubung pembelian Hotel Grand Plaza Park City di Kensington, London, United Kingdom oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Balai Felda, Jalan Gurney 1 di sini semalam.

Pasukan SPRM yang lengkap beruniform itu tiba di bangunan tersebut pada pukul 10.20 pagi sebelum naik ke tingkat empat yang menempatkan pejabat FIC.

Pegawai dan anggota penyiasat SPRM hanya meninggalkan bangunan tersebut pada pukul 5.45 petang dengan membawa tiga kotak dan dua bagasi dipercayai mengandungi dokumen-dokumen berkaitan pembelian hotel oleh FIC.

Dalam masa sama, FIC menerusi satu kenyataan akhbarnya semalam mengesahkan kehadiran lapan pegawai SPRM ke pejabat FIC bagi tujuan menyiasat berhubung pembelian hotel bertaraf empat bintang tersebut.

“FIC memberikan kerjasama penuh kepada pasukan SPRM sepanjang siasatan dijalankan dan FIC komited dalam menyokong usaha pihak berkaitan bagi meningkatkan ketelusan,” kata kenyataan itu.

Pada 14 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan dibuka berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington oleh FIC antara tahun 2013 dan 2015 susulan maklumat terbaharu yang diperoleh badan itu berhubung pembelian hotel tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.