Smurfs ubah kehidupan penduduk Juzcar

Salah satu patung watak animasi Smurfs yang menghiasi kampung Juzcar, Sepanyol.


LANDSKAP sebuah perkampungan kecil di selatan Sepanyol berubah wajah menjadi kebiruan selepas kesemua rumah di situ dicat dengan rona biru terang.

Setiap bangunan di kampung Juzcar yang hanya berpopulasi 250 penduduk itu dicat biru oleh syarikat Sony Pictures pada tahun 2011 untuk mempromosikan filem animasi terkenal, The Smurfs.

Panorama perkampungan dalam filem animasi itu dijelmakan di dunia realiti di kampung Juzcar. Ia turut dihiasi dengan replika karakter-karakter Smurfs yang merupakan makhluk-makhluk kerdil berwarna biru.

Bagaimanapun selepas kampung itu berubah rupa, penduduk membuat keputusan mengekalkannya menyebabkan kampung Juzcar yang terletak dalam wilayah Malaga di Andalusia serta berada 25 kilometer dari bandar Ronda itu menjadi cukup popular.

Keunikan kampung berkenaan telah menyebabkan banyak perniagaan termasuk restoran, bar dan rumah tamu dibina selepas menerima kunjungan lebih 80,000 pelancong setiap tahun. Sebelum bertukar wajah, kampung itu hanya menerima 300 orang pelancong setahun.

Seorang pengunjung, David Silva berkata, dia sangat tertarik dengan rupa baharu kampung itu yang lebih ceria dan berwarna biru.

“Umum mengetahui kampung ini merupakan kampung biasa yang suram dan tiada apa-apa. Kini, ia sungguh indah dengan rona biru dan lukisan menarik kartun Smurfs di setiap rumah.

“Usaha ini perlu dipuji dan menjadi contoh terbaik untuk pembangunan di tempat-tempat lain,” katanya.

Royalti


KEADAAN rumah-rumah dan bangunan-bangunan di kampung Juzcar sebelum dicat warna biru.


Menurut portal berita, Daily Mail, bahana popularitinya, kampung yang dicat dengan warna biru itu terpaksa membayar royalti sebanyak 12 peratus kepada pencipta filem The Smurfs selepas ia berjaya menarik puluhan ribu pelancong ke situ setiap tahun.

Menelusuri sejarah, Smurfs merupakan watak-watak komuniti kerdil biru berumahkan cendawan yang mula direka pada tahun 1958 untuk sebuah komik. Ia kemudian berkembang menjadi siri kartun televisyen popular pada tahun 1980-an.

Dari layar kaca ia telah dibawa ke layar perak pada tahun 2011 dengan kemunculan filem animasi, The Smurfs.

Populariti yang dikecapi kampung Juzcar juga mendorong penduduk menukar nama dan menaikkan papan tanda kampung tersebut kepada Kampung Smurfs.

Sebanyak 37 juta pound (RM207.61 juta) telah dibelanjakan oleh Sony Pictures bagi memberi nafas baharu pada lebih 100 buah rumah dan bangunan yang terletak di lereng-lereng bukit.

Projek berkenaan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dan ia mula dibuka untuk kunjungan orang ramai pada awal tahun 2012.

Menariknya, kerja-kerja mengecat turut dilakukan oleh Datuk Bandar Juzcar, David Fernandez Tirado dengan kerjasama penduduk kampung itu.

Sebanyak 4,000 liter cat digunakan untuk kesemua bangunan di kampung berkenaan. Tugu-tugu Smurfs juga didirikan di beberapa pintu masuk ke kampung tersebut.

Fernandez Tirado percaya pembaharuan di Kampung Smurfs akan memberi manfaat kepada masyarakat pada masa akan datang, terutamanya dalam memperkasa ekonomi.

“Projek ini juga dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan penduduk apabila mereka bersama-sama membantu mengecat dan menjalankan kerja-kerja kreatif,” katanya.

Pembangunan


Bangunan-bangunan yang dicat biru turut dihiasi dengan replika-replika Smurfs.


Beliau berharap Kampung Smurfs akan menjadi kawasan terbesar di kawasan pentadbiran Serrania de Ronda yang menawarkan pemandangan indah berlatarbelakangkan warna kebiruan, sekali gus menjadi tarikan pelancongan di Juzcar.

Nyata, populariti kampung Juzcar turut memberikan impak yang besar kepada pembangunan di kawasan berhampiran.

“Dahulu, bangunan-bangunan di kawasan kampung ini hanya biasa. Pemilihan warna cat biru ini ternyata berjaya memberi peningkatan sosial di sini.

“Beberapa projek pembangunan lain turut dirancang seperti kerja-kerja pembersihan sungai di kawasan sekitar,” katanya.

Hal itu diakui oleh penduduk kampung tersebut apabila kehidupan mereka bertambah baik sejak projek Kampung Smurfs itu dilaksanakan.

Bahkan, ia telah membuka peluang menjana pendapatan kepada penduduk tempatan menerusi penjualan cenderamata kepada para pelancong.

Ia menjadi projek sosial yang sangat penting bagi menggalakkan penduduk terlibat dalam mempertingkat pembangunan komuniti mereka.

Seorang penduduk Kampung Smurfs, Fernando Llorente berkata, jelas sekali keadaan itu telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

“Dahulu, kawasan ini dipandang sepi tetapi kini dikunjungi ramai pelancong.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada kaum wanita di kampung ini menambah pendapatan keluarga dengan menjual pelbagai barangan,” ujarnya.

Dongeng


Penduduk kampung turut memakai kostum seperti watak Smurfs sebagai salah satu tarikan pelancong.


Ekoran transformasi yang dilakukan itu, kampung tersebut menjadi bualan orang ramai dan pelbagai imej dikongsi di laman sosial seperti Instagram dengan hashtag #smurfsvillage.

Ia lantas dikenali di seluruh pelosok dunia dan menarik lebih ramai pengunjung untuk turut mengabadikan foto keindahan kampung itu yang seolah-olah berada dalam dunia dongeng.

Keunikan kampung itu turut menarik minat seorang tukang masak, Ivan Agusta untuk bekerja di Hotel Bandolero yang dibuka di kampung tersebut.

“Saya banyak melihat gambar yang dikongsikan di Instagram sehingga mengambil keputusan untuk datang ke sini bagi melihat sendiri keindahan Kampung Smurfs.

“Hashtag #smurfsvillage telah dimuat naik lebih 6,000 kali dan ia sangat menakjubkan,” tuturnya.