Platform online dorong wanita jadi usahawan



SEDEKAD yang lalu menjadi rutin harian Te Mei Hong, 38, mengunjungi laman web jualan atau kedai dalam talian menerusi komputer meja di rumahnya.

Meskipun ketika itu, platform jualan internet belum meluas seperti sekarang, dia selesa membeli pelbagai barangan yang berkenan di hatinya secara maya.

Sejak itu, hasrat ibu kepada anak berusia enam, 13, 14 tahun itu untuk terjun ke dunia perniagaan begitu membara. Sekitar tahun 2009, dia mula berniaga menerusi Facebook sebelum beralih kepada platform e-dagang, Shopee pada September 2015.

“Ketika itu, suami tidak yakin dengan tindakan saya. Katanya, siapa yang akan membeli sekiranya tidak mendapat barang terlebih dahulu.

“Pada detik awal, suami juga tidak percaya saya serius berniaga sementelah dia tidak begitu gemar dengan aktiviti saya yang asyik menghadap komputer,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di pejabat Shopee Malaysia (Shopee), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mei Hong yang memilih untuk menjual barangan bayi dan kanak-kanak berkata, tempoh tiga bulan yang pertama adalah saat yang mencabar buat dirinya.

Semua perkara bermula dari mengambil pesanan pelanggan, pembungkusan dan penghantaran dilakukannya sendiri. Pengalaman yang paling sukar dilupakan ialah apabila dia menyertai kempen jualan RM1 anjuran Shopee pada bulan Oktober tahun tersebut.

Pengguna identiti cathyshop itu melihat ia sebagai peluang yang harus direbut. Baginya berbaloi menanggung sedikit kerugian untuk mempromosikan nama perniagaannya supaya dikenali dan diingati ramai.

“Saya memilih beberapa barangan seperti stoking dan beg yang diilhamkan dari filem animasi terkenal, Frozen untuk dijual dalam kempen tersebut. Saya akui ada barangan yang dibeli pada harga modal RM6, tetapi saya anggap ia sebagai kos pengiklanan.

“Ada pelanggan yang meragui kesahihan kempen itu, namun akhirnya saya terima pesanan yang banyak. Seingat saya lebih daripada 300 pembelian.

“Sakit juga tangan kerana terpaksa membungkus dan menulis maklumat penghantaran barangan seperti nama dan alamat kepada pelanggan secara manual,” imbaunya sambil ketawa kecil.

Pencapaian


SHOPEE Malaysia kini mempunyai 3 juta pengikut aktif selepas bertapak di negara ini dalam tempoh kurang daripada dua tahun.


Mei Hong berasal dari Medan, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia pada tahun 2003 dengan harapan mencari kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya.

Berkat usaha gigihnya, dia mampu meraih rekod jualan purata RM50,000 sebulan dan menjual hampir 2,000 variasi barangan yang kesemuanya dibeli secara pukal dari China.

“Paling mendapat sambutan hangat ialah anak patung gajah pelbagai saiz. Ada yang bersaiz jumbo dan mempunyai zip yang boleh dimasukkan selimut di dalamnya. Buat masa ini lebih 3,800 biji telah terjual,” tuturnya yang menetap di Kuala Lumpur.

Tidak hairanlah, dia yang mempunyai lebih 21,000 pengikut dinobatkan sebagai Penjual Tertinggi 2017 sempena Anugerah Penjual Shopee 2017 yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, wanita yang berniaga dalam talian secara sepenuh masa itu menerima trofi, wang tunai RM3,500 dan tempat iklan di platform Shopee bernilai RM30,000.

Penghargaan tersebut disampaikan tetamu kehormat iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif, Pos Malaysia, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh disaksikan Pengarah Urusan Serantau Shopee Malaysia, Ian Ho.

“Ia satu pencapaian yang tidak disangka-sangka. Saya tidak pernah menyimpan impian untuk memenangi anugerah sebegini. Apa yang sentiasa saya sematkan di dalam hati ialah lakukan sesuatu perkara sehabis baik dan bersungguh-sungguh.

“Sekarang, keluarga terutama suami banyak memberi sokongan dan ringan tulang membantu urusan perniagaan yang kian berkembang ini,” luahnya jujur.

Sama seperti Mei Hong, Syaza Yasmin Ismail, 29, yang mengungguli Penjual Terbaik Bulanan bagi bulan Jun turut mengakui minat membeli-belah melalui internet mendorongnya untuk terjun dalam dunia perniagaan.

“Saya memang kaki membeli-belah dan tidak lokek berbelanja terutama melibatkan busana Muslimah. Saya boleh berhabis sehingga RM200 untuk satu-satu barang. Dari situ saya terfikir mengapa saya tidak keluarkan produk sendiri,” imbaunya.

Rekaan sendiri

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu mula menjual busana Muslimah menggunakan platform laman sosial Facebook dan Instagram sekitar 2012 sebelum menyertai Shopee pada tahun 2015.

Kesibukan Syaza Yasmin yang mempunyai pekerjaan tetap di samping memikul tanggungjawab sebagai pelajar peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang pendidikan tidak menghalangnya melakukan aktiviti perniagaan secara separuh masa.

“Saya memang seorang yang suka melakukan pelbagai kerja. Lagipun, saya sendiri yang membuat rekaan pakaian yang dijual dan memilih fabrik seperti broked, satin dan organza sebelum dihantar kepada tukang jahit.

“Saya gemarkan busana yang berkualiti, selesa dipakai pada masa yang sama bergaya anggun,” ujarnya.

Syaza kini menjual lebih 100 barangan dari harga serendah 50 sen berupa pin tudung dan pelbagai fesyen pakaian mencecah RM300.

Menurutnya, kelebihan menjalankan perniagaan menggunakan platform Shopee ialah kos penghantaran barang adalah percuma dan peniaga tidak perlu membayar komisen bagi setiap barangan yang berjaya dijual.

Selain itu, urus niaga juga lebih telus dengan pelanggan akan terus membuat bayaran kepada penjual yang boleh dipercayai melalui akaun Shopee.

“Tugas-tugas memeriksa stok dan mengemas kini akaun juga lebih mudah dilakukan kerana segala data berkaitan direkodkan secara sistematik.

“Secara peribadi, saya berpendapat, urus niaga di laman sosial mempunyai cabaran tersendiri seperti penangguhan urusan pembelian dalam tempoh yang lama atau dibatalkan, proses transaksi wang tidak telus seperti pemalsuan resit.

“Begitupun, saya masih menggunakan medium itu mempromosikan barangan yang dijual namun menggalakkan pelanggan untuk mendapatkan barangan tersebut di Shopee,” katanya.