Platform sukarelawan beri kepuasan peribadi

Pasukan Perubatan BiKUM ketika siri Jelajah Bantu Rakyat di Sandakan, Sabah baru-baru ini.


Riak wajah gadis berasal dari Negeri Sembilan itu tidak pernah lekang mengukir senyuman. Bahkan, bahasa tubuh gadis berusia 25 tahun itu, sama sekali tidak menunjukkan tanda-tanda kepenatan mengharungi perjalanan jauh untuk mengerah keringat melakukan kerja-kerja amal.

Ammielyya Jusnieza Ahmad Jafri merupakan antara 150 sukarelawan yang menyertai program jelajah Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) mendekati rakyat baru-baru ini.

Program yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Mei lalu itu melibatkan 35 kenderaan pacuan empat roda yang menjelajah ke semua negeri di dalam negara kecuali Perlis dan Sarawak dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat.

Lebih membanggakan, kebanyakan peserta sukarelawan merupakan golongan belia yang memiliki sifat keprihatinan tinggi dalam diri mereka.

Ia sekali gus membuktikan bahawa sifat menyayangi sesama manusia masih bersarang dalam jiwa golongan muda.

Pemenang Anugerah Belia Wanita Negeri Sembilan 2017 itu memberitahu, dia tertarik dengan kerja-kerja sukarelawan sejak di bangku sekolah lagi dan peluang menyertai konvoi kebajikan diketuai Pengerusi BiKUM, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah merupakan sesuatu yang sangat dinantikan.

“Setiap manusia mempunyai tanggungjawab tersendiri terutamanya dalam memberi kebahagiaan kepada orang lain. Platform sukarelawan ini memberi kepuasan peribadi kepada diri saya kerana dapat membantu orang lain.

“Sebagai manusia kita diberikan kelebihan tersendiri. Kita perlu mengambil kesempatan tersebut dalam membantu sesama manusia lain,” katanya.

Dia yang merupakan Exco Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan menambah, melalui program-program sukarelawan dia banyak mempelajari ilmu baharu malah mengenali banyak kenalan untuk memperluaskan rangkaian dalam bidang sukarelawan.

Psikologi


Pasukan Perubatan BiKUM menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada orang ramai menerusi program jelajah BiKUM yang diadakan baru-baru ini.


Sebagai contoh, Ammielyya Jusnieza memberitahu, dia banyak mempelajari tentang perubatan dan mengendali orang ramai apabila menyertai program jelajah BiKUM.

“Ini merupakan kali pertama saya ditugaskan untuk membantu pasukan perubatan. Biarpun, hanya beberapa hari mendekati masyarakat setempat tetapi banyak yang dapat dipelajari terutama melibatkan kawasan luar bandar.

“Saya perlu mengetahui jenis ubat-ubatan untuk membantu pasukan perubatan ini. Selain itu, saya perlu menggunakan psikologi agar orang ramai mendapatkan saringan perubatan semasa jelajah ini,” ujarnya.

Penuntut Sarjana Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menambah, dia berharap lebih banyak golongan belia akan mengambil bahagian dalam program sukarelawan kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan jati diri tetapi menimba pelbagai ilmu pengetahuan.

Ketua Srikandi MAYC Negeri Sembilan itu berkata, pengalaman dapat membantu orang ramai menyentuh hatinya terutama apabila dapat mengurangkan beban mereka.

Cabaran


SITI HAJAR (kiri) dan Ammielyya tidak pernah berasa jemu mengikuti program sukarelawan.


Dalam pada itu, seorang lagi peserta program berkenaan, Ismadi Ibrahim berkata, menjadi sukarelawan bukan satu tugas yang mudah kerana perlu mempunyai kekuatan fizikal dan mental.

“Apabila menjadi sukarelawan, kita perlu mengetahui tugasan yang diberikan agar setiap program dapat berjalan dengan lancar.

“Begitupun, terdapat program yang berlanjutan selama beberapa hari malah minggu dan berbulan-bulan untuk menghulurkan bantuan kepada orang ramai,” ujarnya.

Justeru, jejaka berusia 26 tahun itu memberitahu, kekuatan mental dan fizikal memainkan peranan penting ketika menyertai program-program sukarelawan.

Katanya, para peserta juga perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal diharungi semasa mengikuti program-program sukarelawan ini.

“Saya telah mengikuti jelajah ini sebanyak dua kali. Secara peribadi, Sabah merupakan lokasi paling mencabar kerana kedudukan geografinya yang berbeza berbanding Semenanjung.

“Manakan tidak, perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain mengambil masa selama beberapa jam malah mencecah enam hingga tujuh jam bergantung kepada pemanduan,” tambahnya.

Selain daripada itu, dia menjelaskan, para peserta perlu mengenali antara satu sama lain kerana ia dapat membantu sekiranya salah seorang daripada mereka berdepan masalah seperti kesihatan.

Katanya, semasa jelajah kali ini, terdapat dua peserta berdepan serangan asma sehingga salah seorang dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Komunikasi juga memainkan peranan dalam program-program sukarelawan ini. Ia berikutan komunikasi dapat melancarkan sesuatu program terutama melibatkan kenderaan yang banyak,” ujarnya.

Kenali budaya


SEBAHAGIAN peserta sukarelawan BiKUM dan pengamal media merakam gambar kenangan di Sabah.


Sementara itu, Siti Hajar Aznan memberitahu, dia sangat teruja apabila berpeluang mengikuti program-program sukarelawan.

Gadis berusia 24 tahun itu berkata, melalui program-program sukarelawan dia dapat mengetahui dengan lebih dekat tentang budaya, kulinari dan masyarakat setempat.

“Bukan sahaja kita mampu membantu orang ramai melalui program-program sukarelawan ini tetapi dapat mengenali sesuatu budaya, makanan dan kehidupan masyarakat setempat.

“Selain itu, kita juga berpeluang untuk mengetahui destinasi-destinasi pelancongan serta kawasan pedalaman yang belum pernah dijejaki selama ini,” ujarnya.

Siti Hajar yang menuntut di UIAM dalam jurusan Sarjana Sains Politik menambah, menjadi sukarelawan membuka matanya dengan lebih luas tentang kehidupan dan kesukaran hidup.

Katanya, dia akan sentiasa mencuba memberi yang terbaik setiap kali mengikuti program-program sukarelawan.