Pamer lebih 40 replika dinosaur

Dinosaur yang dipamerkan pada DAKL boleh bergerak dan berbunyi.


Kegembiraan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu sebaik tiba di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Perasaan teruja mula menyelubungi Muhammad Haikal Shamsul Anuar selepas melihat kelibat replika dinosaur Tyrannosaurus rex (T-rex) di bahagian depan khemah besar di lokasi itu.

Sebagai seorang peminat dinosaur, dia cukup mengenali haiwan prasejarah yang terkenal sebagai pemangsa utama suatu ketika dahulu itu.

Muhammad Haikal kemudian dipimpin oleh bapanya masuk ke dalam khemah seluas 50x50 meter persegi itu. Alangkah gembiranya Muhammad Haikal apabila melihat kelibat replika T-rex setinggi bangunan dua tingkat di dalam khemah itu.

Begitupun, gerak-geri kanak-kanak kelahiran ibu kota itu mula berubah dan tidak keruan apabila melihat kepala serta ekor dinosaur tersebut mula bergerak.

Ditambah dengan bunyi ngauman, replika itu kelihatan seperti hidup. Situasi ini, menyebabkan Muhammad Haikal berlari keluar dari khemah sambil menangis kerana terlalu takut.

Itulah sebahagian daripada cerita-cerita menarik yang mewarnai pameran Dinosaurs Alive in Kuala Lumpur (DAKL) baru-baru ini.

Salah seorang pengunjung, Yusmadi Yahaya, 41, pula memaklumkan, dia sangat teruja selepas membawa anaknya Diamaisara, 5, berkunjung ke DAKL.

Jelasnya, DAKL berbeza sama sekali dengan pameran-pameran lain yang pernah dikunjunginya sebelum ini.

“Ini kali pertama saya berpeluang berkunjung ke sebuah pameran berkaitan dinosaur. Pada pendapat saya, pameran ini sangat menarik kerana replika dinosaur di sini boleh bergerak.

“Jika saya yang dewasa ini pun teruja, saya yakin kanak-kanak pasti lebih gembira kerana dapat masuk ke sini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Yusmadi yang berkhidmat di sebuah syarikat agensi pelancongan di Kuala Lumpur menambah, pameran itu juga sarat dengan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada kanak-kanak.

Silaturahim


Zon telur dinosaur membolehkan kanak-kanak merasai pengalaman bergelar paleontologi.


Jelasnya, berapa aktiviti dalam pameran itu sangat mencabar minda kanak-kanak dan ada ketika ia perlukan bantuan daripada ibu bapa atau penjaga.

“Salah satu aktiviti yang menarik di sini adalah kraf dinosaur.

“Menerusi aktiviti ini, kanak-kanak perlu mewarna dinosaur menggunakan pasir berwarna.

“Saya turut membantu Diamaisara melakukan aktiviti ini. Ia sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi silaturahim antara kami berdua,” jelasnya.

Mula dibuka pada 14 Julai lalu, pameran DAKL memberi peluang kepada orang ramai melihat secara lebih dekat spesies-spesies dinosaur yang pernah mendiami bumi kira-kira 165 juta tahun lalu.

Pameran itu juga membolehkan pengunjung terutamanya kanak-kanak meneroka dan mempelajari kehidupan dinosaur menerusi pelbagai aktiviti interaktif.

Pameran yang berakhir pada Januari tahun depan itu dianjurkan oleh Matic hasil kerjasama dengan Creative Alliance and Dinosaurs Touring.

Menyentuh penganjuran DAKL, Pengarah Eksekutif Creative Alliance, Adam Yong Abdullah berkata, pameran tersebut tidak hanya terhad kepada kanak-kanak tetapi melibatkan golongan dewasa.

“Saya yakin, ramai dalam kalangan masyarakat di Malaysia meminati filem Hollywood, Jurasic Park yang menceritakan tentang kehidupan dinosaur.

“Dinosaur juga dekat dengan masyarakat di negara ini selepas penemuan fosil gigi tinggalan dinosaur herbivor di kawasan pedalaman Pahang pada 2014,” katanya.

Dianggarkan lebih 40 replika dinosaur ‘hidup’ dipamerkan pada pameran itu dan menariknya, replika tersebut boleh bergerak serta berbunyi.

Antara spesies dinosaur yang dipamerkan pada DAKL ialah T-rex, Allosaurus, Brachiosaurus, Apatosaurus, Carnotaurus, Ceratosaurus, Dilophosaurus, Seismosaurus dan Pterosaur.

Menurut Adam Yong, DAKL dilengkapi dengan pelbagai aktiviti interaktif dan bermanfaat kepada kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun.

Katanya, kanak-kanak berpeluang menjadi ahli paleontologi dengan mencuba aktiviti di zon telur, zon menggali fosil dan zon sejarah dinosaur.

“Bagi kanak-kanak yang meminati aktiviti seni, mereka boleh cuba memasang tulang dan kraf dinosaur.

“Kami juga menyediakan dua bouncer inflatable (permainan getah yang dikembung menggunakan angin) dan tayangan video animasi dinosaur,” katanya.

Diskaun


PAMERAN DAKL berlangsung di Lanai, Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur sehingga Januari tahun depan.


DAKL dilengkapi kafeteria dan kedai cenderamata yang menjual barangan serta permainan berkaitan dinosaur.

Dia memberitahu, pameran itu dijangka menerima 5,000 hingga 6,000 pengunjung setiap hari.

Malaysia merupakan negara Asia pertama yang menganjurkan pameran itu. Selepas ini, ia akan menjelajah ke negara lain.

Tambah Adam Yong, pihaknya menyasarkan kehadiran pengunjung domestik dan negara jiran seperti Thailand serta Singapura.

“Kami akan memberikan diskaun kepada pelawat yang datang dalam kumpulan seramai 10 orang serta rombongan pelajar sekolah.

“Pakej dan tempahan juga dibuka untuk persendirian dan syarikat korporat yang ingin mengadakan acara di sini,” terangnya.

Mengulas mengenai idea DAKL, dia memberitahu, ia tercetus sejak beberapa tahun lalu sewaktu melawat pameran dinosaur di Australia.

Katanya, pada lawatan itu, dia mendapati kanak-kanak sangat teruja apabila berada dalam pameran berkaitan haiwan purba tersebut.

Pendapat berkenaan diakui oleh salah seorang pengunjung DAKL Mohd. Haziq Ali Hisham, 13, yang menganggap pameran itu sangat mengagumkan terutamanya dari aspek replika dinosaur.

Ujar anak kelahiran Ayer Keroh, Melaka itu, pameran berkenaan juga membolehkannya mengenali nama serta rupa bentuk dinosaur.

“Selalunya, saya hanya tengok dinosaur ini dalam filem Jurasic Park. Namun, di sini saya dapat lihat secara terus. Ia sangat menarik.

“Saya juga tidak melepaskan peluang bergambar dengan dinosaur di sini untuk dikongsi bersama rakan-rakan dalam laman sosial,” katanya.

Muhammad Haziq yang berkunjung ke DAKL bersama keluarganya menambah, dia menghabiskan masa selama tiga jam pada pameran itu.

Dia memberitahu, kebanyakan masanya dihabiskan untuk mencuba semua aktiviti yang ditawarkan pada pameran itu.