Ika bergaduh di lapangan terbang

IKA


BARU-BARU ini, ada teman Diva yang bekerja di lapangan terbang mengadu bahawa ada ‘drama’ berlaku sewaktu dia bekerja. Menurut kawan Diva itu, dia melihat insiden itu dengan mulut ternganga gara-gara dua orang wanita berkelahi antara satu sama lain.

Apabila dilihat betul-betul, rupa-rupanya, individu tersebut merupakan pelakon Ika Nabella. Katanya, bukan dia seorang sahaja yang tergamam, tetapi orang sekeliling pun turut memerhatikan gelagat Ika bersama wanita tersebut. Aduhai.

Selepas dirisik, menurut kawan Diva itu, wanita tersebut marah selepas Ika dikatakan dengan sengaja melanggar dirinya ketika melalui travelator dan terus berlalu pergi tanpa menghiraukannya. Jadi, ketika bertemu di ruangan menunggu bagasi, wanita tersebut menegur tindakan Ika dan meminta dia membuat permohonan maaf kepadanya.

Malangnya, perkara itu jadi berpanjangan apabila Diva difahamkan Ika enggan berbuat demikian. Bahkan, Diva diberitahu keadaan jadi lebih keruh apabila keluar pelbagai kata-kata kesat sehingga perlu dileraikan. Aduhai.

Diva ingatkan selesai situ sahaja, rupa-rupanya, baru-baru ini, apabila Diva tengok di Instagram Ika, nampak statusnya panjang lebar mengenai insiden itu dengan melabel wanita tersebut sebagai ‘mak cik’. Berlarutan sehingga ke laman sosial pula. Pening pula Diva dibuatnya.

Daripada apa yang dikongsikan itu, nampaknya marah betul Ika. Macam-macam komen netizen yang Diva baca.

Diva pun tak mahu cakap lebih-lebih. Bukan apa, kita belum dengar lagi daripada kedua-dua pihak. Kalau dengar daripada satu pihak sahaja mana adil bukan?

Terbaharu, Diva risik-risik, ‘mak cik’ yang dimaksudkan Ika itu bukan mak cik kampung. Dengarnya ahli perniagaan ada bisnes produk kecantikan. Patutlah dalam rakaman perbualan mereka yang dikongsikan Ika di Instagram, kata ‘makik’ itu, ‘I know what to do’ (Saya tahu apa nak buat). Okey, Diva seram.

Diva: Perkataan maaf itu memang besar kuasanya. Cuma kadang-kadang manusia ini ego tinggi.