Kau Takdirku suntik kelainan


Penggambaran filem terbitan Grand Brilliance ini turut dilakukan di dasar laut.


Mencintai seseorang dalam diam tanpa mampu meluahkan adalah sesuatu yang menyakitkan jiwa. Terkadang, dalam mencintai seseorang adalah lebih baik untuk membiarkan dia pergi demi kebahagiaannya. Namun tiada siapa yang dapat menelah takdir yang tertulis.

Itu inti pati filem Kau Takdirku yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 7 September nanti.

Membariskan aktor hebat seperti Remy Ishak, Bront Palarae, Kartina Aziz dan pelakon pelapis, Ezzaty Abdullah serta Aisya Hasnaa, filem arahan Jason Chong itu menampilkan kisah cinta tiga segi yang menyayat hati.

Merupakan genre cinta pertama sentuhan Jason, pengarah filem Belukar dan Ular itu mengakui, filem terbaharu arahannya itu memaparkan jalan cerita yang kuat serta lakonan barisan aktor yang memukau.

“Ini merupakan filem genre cinta pertama arahan saya. Apa yang saya boleh katakan mengenai filem ini adalah ia sebuah naskhah yang cantik dan saya cukup berpuas hati dengan hasil lakonan semua pelakon,” ujarnya ketika dihubungi Sensasi Bintang.

Membuat pemilihan pelakon melalui uji bakat kecuali Bront dan Remy, Jason menyifatkan, pemilihan Ezzaty sebagai heroin filem Kau Takdirku adalah sesuatu yang tepat.

“Lakonan Ezzaty dengan Bront dan Remy mempunyai keserasian yang bagus. Tambahan pula, mereka dan juga pelakon-pelakon lain melalui kelas lakonan bersama dengan Fauziah Nawi,” jelasnya yang turut mencabar diri melakukan penggambaran filem berkenaan di dasar laut.


Kau Takdirku merupakan filem cinta pertama arahan Jason Chong.


Bagi Jason, pengalaman pertama yang diperoleh menerusi penggambaran di dasar laut menyuntik kelainan pada filem cinta tiga segi yang disifatkan klise.

“Bukan mudah mengarah filem di dasar laut kerana ia lebih teknikal daripada penggambaran biasa. Bayangkan ketika dalam air kita tidak boleh bercakap untuk memberi arahan kepada pelakon. Komunikasi antara saya dengan pelakon dan kamera sangat terhad dan penggambaran memakan tenaga dan masa. Hanya pandangan mata dan pergerakan tangan sahaja yang dapat dilakukan.

“Namun, saya sudah memberi keterangan kepada barisan pelakon sebelum menyelam di dasar laut. Kami mendapat satu pengalaman yang sangat menyeronokkan dan menonton juga dapat menikmati keindahan dasar laut menerusi filem tersebut,” ujarnya mengenai filem terbitan Grand Brilliance itu.

Jason turut ditanya mengenai gosip mengatakan ada beberapa adegan intim melibatkan Ezzaty dan salah seorang pelakon utama lelaki yang terpaksa dipotong, namun pengarah itu menafikannya.

“Setahu saya tidak ada potongan babak yang menjejaskan penceritaan filem itu,” katanya lagi.

Kau Takdirku mengisahkan tentang Kamar (Remy) yang jatuh cinta secara rahsia dengan Alya (Ezzaty). Namun, wanita itu akhirnya berkahwin dengan Harris (Bront).

Takdir menentukan Harris hilang di laut. Setelah kehilangan Harris, Kamar mengahwini Alya, namun keadaan menjadi rumit apabila Harris kembali.