Losen Nusantara rumusan penuh khasiat


Maziah menunjukkan pelbagai rangkaian produk keluaran syarikatnya, Almas.


RAMAI wanita ingin memiliki kulit lembut dan menawan. Tidak dinafikan bahawa solekan dan pakaian menonjolkan ciri-ciri kewanitaan. Namun, kulit yang lembap akan lebih menyerlahkan kecantikan seseorang wanita itu.

Mungkin ramai tidak sedar bahawa kulit manusia kehilangan air pada setiap saat. Akibatnya, kulit mungkin menjadi kering dan tidak bermaya. Ini merupakan masalah biasa yang membuatkan kebanyakan wanita hilang keyakinan diri.

Dengan bahan-bahan yang lembut dan semula jadi, ia menjanjikan kebaikan yang berkesan dan tahan lama, untuk memberikan tekstur kulit yang lembut.

Setiap jenis produk di pasaran diperkaya dengan kebaikan daripada bahan penting yang unik untuk memenuhi keperluan wanita serta gaya hidup mereka yang berbeza. Justeru, pemilihan pati losen yang berkualiti amat penting agar tidak menjejaskan kulit seseorang.

Menyedari perkara tersebut, syarikat penghasil dan pengedar produk kesihatan serta kecantikan, Almas Beauty and Health Sdn. Bhd. (Almas) menawarkan Losen Nusantara yang diperkaya dengan bahan-bahan terpilih yang baik untuk semua jenis kulit.

Pengasasnya, Datin Maziah Mohamed berkata, lembut, berseri dan cerah bukan sahaja berpusat pada wajah malah perhatian yang sama juga harus diberikan kepada seluruh permukaan kulit termasuk di bahagian badan, kaki dan tangan.

“Losen Nusantara dirumus khas dengan bahan-bahan penuh khasiat seperti daun pudina, halia dan bawang putih dan sesuai bagi kegunaan urutan luar.

“Dihasilkan di kilang yang bersih dan berteknologi tinggi, produk unik yang dihasilkan Almas mudah untuk meresap ke dalam kulit dan mengeluarkan angin dalam badan,” katanya kepada Aura Juita baru-baru ini.

Jelas Maziah, penggunaan losen itu tidak hanya sesuai bagi mereka yang kerap melakukan aktiviti sukan tetapi juga sesuai digunakan ketika berada di pejabat dan di rumah.

Katanya, losen tersebut juga sesuai untuk digunakan oleh golongan wanita terutamanya bagi kaum ibu yang sedang berpantang mahupun yang baru bersalin.

“Losen Nusantara juga baik digunakan bagi mereka yang ingin mendapatkan bentuk tubuh ideal selain melegakan rasa sengal pada bahagian tubuh yang penat ataupun lesu akibat aktiviti dan kerja seharian.

“Bagi pengguna di luar sana yang inginkan bentuk tubuh yang diidamkan, anda hanya menyapu losen ini pada bahagian lemak sehingga ia meresap jauh ke dalam kulit yang diingini tanpa perlu risau akan kesan sampingannya,” ujarnya.

Dikenali sebagai Losen Halia Bara suatu ketika dahulu, Losen Nusantara kini menjadi bualan hangat berikutan keberkesanannya dalam memberikan kelegaan bagi tujuan urutan luar dan mengurangkan bekas selulit pada tubuh.

Dijual pada harga RM28 sebotol, Losen Nusantara boleh didapati di toko-toko jamu berhampiran di seluruh negara tanpa was-was kerana ia dihasilkan di kilang yang diiktiraf mengamalkan Amalan Perkilangan Baik (GMP) selain mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.