Keunikan konsep kafe Pinkboxcereal Dollhouse


ShAFIQAH dan Iylia sepakat untuk membuka kafe berkonsepkan kecantikan kerana melihat peluang yang besar di Malaysia.


LUMRAH bagi setiap wanita yang gemar bergaya untuk tampil cantik dengan solekan hingga timbul rasa obsesi pada diri mereka terhadap alat-alat solek.

Minat yang sama turut dimiliki oleh seorang bekas pramugari yang begitu meminati solekan, lebih-lebih lagi apabila dia perlu sentiasa tampil cantik semasa berkhidmat di awan biru.

Lantaran kerana minat terhadap solekan itu secara tidak langsung telah memberi idea kepadanya dengan membuka sebuah kafe khusus bagi golongan wanita untuk berkumpul bersama teman-teman dan berkongsi minat sama dalam dunia kecantikan.

Berdiri atas jenama Pinkboxcereal, pengasasnya, Nurul Shafiqah Shafie, 26, bersama-sama suami tercinta, Mohamad Iylia Fahmi Azmi, 28, telah mengorak langkah apabila berani tampil dengan kelainan dalam perniagaan yang diusahakan.

Menurut Shafiqah, Pinkboxcereal yang diusahakan sejak bulan Ogos tahun lalu itu pada awalnya menjalankan perniagaan dengan menjual produk kosmetik secara online sebelum memperkenalkan perkhidmatan kafe kecantikan dikenali sebagai Pinkboxcereal Dollhouse.

“Idea untuk membuka kafe kecantikan ini pun sebenarnya terjadi secara tidak sengaja,” tutur wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Serba merah jambu

Menurut Shafiqah, pada mulanya dia hanya menjual produk sendiri, selain produk kosmetik jenama lain secara online yang dijalankan di pejabat.

“Saya aktif membuat mekap tutorial atau nasihat penjagaan wajah dengan membuat video atau secara live untuk berinteraksi dengan kenalan dalam laman sosial berlatarbelakangkan suasana pejabat,” tuturnya.


PERALATAN solekan yang disediakan dijamin bersih dan selamat digunakan oleh para pelanggan.


Kata Shafiqah lagi, dalam video tersebut, ramai pengikutnya tertarik dengan konsep dekorasi pejabat yang digubah menjadi seperti rumah anak patung (doll house).

Pelanggan yang datang ke pejabat untuk mengambil barang juga memuji sentuhan serba merah jambu yang diberikan hingga ada dalam kalangan mereka sanggup datang semata-mata untuk melihatnya sendiri sambil membelek-belek produk yang dijual.

Melihat pada sambutan yang diberikan, maka pada setiap hari Sabtu dan Ahad, ruang pejabat seluas 74 meter persegi itu akan dibuka menjadi kafe khas untuk pencinta solekan.

“Jadi sejak Mei lalu, pelanggan boleh datang ke Pinkboxcereal Dollhouse yang terletak di Empire Damansara untuk bereksperimen dengan alat-alat solek sambil bersantai bersama teman-teman,” tuturnya.

Ternyata minat dalam bidang kecantikan turut mendapat dorongan oleh suaminya, Iylia, apabila lelaki itu turut sama-sama membantu dalam mengembangkan Pinkboxcereal Dollhouse.

Dakwa Iylia, dia tidak melihat konsep kafe kecantikan itu sebagai satu halangan besar buat seorang lelaki sepertinya dalam menjalankan perniagaan berkaitan hobi seorang wanita.

Menurut jejaka itu, dia melihat idea kafe berkonsepkan kecantikan itu sebagai peluang baharu untuk diketengahkan memandangkan belum wujud lagi mana-mana kafe berkonsepkan sedemikian di negara ini.

Kelas solekan

“Di Malaysia sudah ada beberapa kafe yang menawarkan konsep seperti kucing khusus untuk penggemar haiwan.

“Jadi untuk Pinkboxcereal Dollhouse, pelanggan yang datang akan dihidangkan dengan pilihan minuman sama ada teh atau kopi serta diberikan makanan ringan sambil ‘bermain’ dengan alat solek yang disediakan,” tutur Iylia.


PELANGGAN yang datang ke Pinkboxcereal Dollhouse cuma dikenakan bayaran sebanyak RM25 dan dihidangkan dengan minuman teh atau kopi serta makanan ringan.


Tambah Shafiqah, sama seperti konsep kebanyakan kedai menjual alat-alat solek di kedai, pelanggan akan mencuba sesuatu alat solek itu sebelum membelinya, namun tidaklah mengambil masa terlalu lama.

Namun di Pinkboxcereal Dollhouse, pelanggan yang datang boleh meluangkan masa maksimum selama dua jam bersama rakan-rakan sambil bermain dengan alat solek dengan bayaran sebanyak RM25 seorang.

“Ada sesetengah orang memang langsung tidak pandai bersolek dan malu untuk bermain dengan alat solekan.

“Tetapi jika berkunjung ke Pinkboxcereal Dollhouse, mereka tidak perlu malu dan bimbang kerana mereka bebas menggunakan apa sahaja barangan yang disediakan di atas meja, malah akan diberi tunjuk ajar,” jelasnya.

Kata Shafiqah, pelanggan yang datang biasanya sengaja hadir dengan wajah yang polos tanpa secalit solekan dan hanya menggunakan alat-alat solek yang disediakan.

“Jika ada sebarang majlis misalnya, mereka akan singgah dan bersiap di Pinkboxcereal Dollhouse sahaja dan mereka tidak perlu bimbang tentang tahap kebersihan alat-alat solek yang digunakan kerana kami amat mementingkan kepuasan pelanggan,” ujarnya

Berbicara soal cabaran yang dihadapi, pasangan suami isteri itu berasa bersyukur apabila semua yang dirancang berjalan lancar, malah perniagaan yang dijalankan makin dikenali dan mendapat sambutan.

Semasa menetap di Melawati, Kuala Lumpur, Iylia mengakui, mereka terpaksa tidur di bahagian dapur memandangkan rumah mereka turut dijadikan pejabat dan penuh dengan produk-produk.

Mengimpikan untuk membuka Pinkboxcereal Dollhouse di dalam pusat beli-belah dalam tempoh lima tahun akan datang, Shafiqah dan Iylia tidak terkejut jika konsep yang diketengahkan turut dibuat oleh individu lain.

“Itu adalah perkara biasa dalam perniagaan dan saya tidak bimbang akan perkara tersebut,” tutur pasangan suami isteri itu.