Keselamatan makanan bermula dari ladang

PENANAMAN secara hidroponik juga perlu mempraktikkan amalan pertanian baik bagi meningkatkan keselamatan makanan yang dihasilkan.


SEKTOR pertanian merupakan nadi penting dalam membangunkan ekonomi negara. Ia juga merupakan bidang yang mempunyai potensi cerah untuk diketengahkan apabila lebih banyak golongan muda dilihat mula menceburi bidang ini.

Ia bertepatan dengan matlamat kerajaan yang ingin memastikan negara menerajui pasaran eksport bagi produk berasaskan pertanian.

Subsektor tanaman secara intensifnya melibatkan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan yang dilakukan secara berskala besar.

Justeru, ia memerlukan input-input pertanian yang moden dan berteknologi tinggi seperti baja atau benih yang berkualiti, racun perosak dan lain-lain teknologi pertanian dalam menjamin pengeluaran yang tinggi dan berterusan.

Faedah penggunaan racun perosak dalam pengeluaran tanaman memang tidak dapat dinafikan dan ia akan terus digunakan pada masa hadapan. Ini bagi memastikan pengeluaran makanan mencapai sasaran yang ditetapkan sama ada untuk kegunaan di dalam negara mahupun bagi pasaran eksport.

Apa yang penting, semua pihak sama ada pihak berkuasa, industri, badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai perlu memastikan agar penggunaan racun perosak dilakukan secara berhemah dan bijaksana bagi menjamin pembangunan yang lestari.

Isu keselamatan hasil pertanian dalam pasaran tempatan mahupun yang diimport adalah saling berkait dengan penggunaan racun perosak dan baja kimia.

Input pertanian diperlukan dalam memastikan pengeluaran hasil pertanian berada pada kadar yang optimum tanpa mendatangkan kerugian kepada pihak petani dan pengeluar akibat serangan perosak dan kekurangan nutrien.

Bagaimanapun, penggunaan racun perosak dan baja kimia yang tidak berhemah iaitu tidak dikawal penggunaannya serta tidak mengikut amalan pertanian yang baik boleh mendatangkan keburukan kepada pengguna, pengendali dan alam sekitar.

Justeru itu, Jabatan Pertanian Malaysia memainkan peranan penting dalam isu keselamatan makanan dan jaminan bekalan makanan di negara ini.

Bagi memastikan kedua-dua perkara itu dapat ditangani dengan baik, pihak jabatan telah melaksanakan pelbagai program, antaranya ialah:

- Pensijilan myGAP dan myOrganic

- Program pemantauan residu racun perosak dalam hasil pertanian

- Penguatkuasaan Akta Racun Makhluk Perosak 1974

- Menyelaras penetapan Nilai Had Maksimum Residu

- Racun Perosak dalam Makanan di bawah Akta Makanan 1983 yang dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian Kesihatan

- Menyediakan perkhidmatan analisis residu racun perosak bagi hasil pertanian yang dieksport dan diimport

Melalui pelbagai program dan penguatkuasaan akta tersebut, ia jelas mencerminkan bahawa pihak jabatan sememangnya memandang serius terhadap isu keselamatan makanan bagi penduduk negara ini.

Pihak jabatan dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi kerajaan lain juga tidak bersikap lepas tangan dalam memastikan kualiti dan keselamatan makanan sama ada yang dihasilkan atau diimport sentiasa dipantau.

Antaranya agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan yang akan mengambil sampel hasil pertanian di pasaran tempatan dan pintu-pintu masuk negara untuk tujuan pemeriksaan kandungan kontaminan dalam makanan tersebut.

Setiap tahun, hampir 16,000 analisis racun perosak pada hasil pertanian telah dijalankan bagi tujuan memantau tahap keselamatan makanan untuk memenuhi kriteria pensijilan myGAP.

Analisis racun perosak yang dijalankan di makmal merangkumi pelbagai kumpulan racun perosak seperti organo-fosfat, organo-klorin, piretroid sintetik, karbamait dan lain-lain.

Kesemua makmal di bawah Jabatan Pertanian telah mendapat pengiktirafan Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SKMM) berdasarkan keperluan MS ISO/IEC 17025:2005 oleh Jabatan Standard Malaysia.

Jika dilihat dari segi kawalan oleh pelbagai agensi terlibat, dapat dirumuskan bahawa hasil pertanian oleh petani kita serta hasil yang diimport ke Malaysia adalah selamat untuk dimakan.