Beg tangan songket dibuat dalam kuantiti terhad

Songket yang digunakan dalam beg tangan Tasbijoux adalah dari Terengganu, Kelantan dan Brunei.


UMUM mengenali fabrik songket sebagai material utama dalam persalinan busana mewah.

Sama ada dijadikan sebagai kebaya mahupun kain samping, pesona fabrik warisan negara yang popular dari Kelantan dan Terengganu itu sememangnya digemari ramai.

Lihat sahaja ketelitian tenunan benang emas pada kain songket, sudah tahu betapa mewahnya fabrik berkenaan.

Disebabkan itu, ia kini menjadi pilihan pereka fesyen tempatan untuk menghasilkan pelbagai produk baharu secara meluas.

Ingin keluar daripada kebiasaan pereka tempatan yang menghasilkan busana menggunakan songket, Tasbijoux menampilkan rekaan beg tangan pelengkap gaya iaitu koleksi The Songket Medley.

Kongsi pengasas merangkap Pengarah Kreatif Tasbijoux, Nur Zalikha Mohd. Sabri, 29, idea asal mengetengahkan fabrik songket ke dalam sentuhan beg tangan koleksi Tasbijoux adalah kerana kecintaannya terhadap elemen warisan tradisional.

Memiliki dua gulung ijazah iaitu dalam jurusan rekaan fesyen dan seni bina, Nur Zalikha nyata jelas mengagumi fabrik warisan berkenaan.

“Idea untuk menghasilkan beg tangan dengan gabungan fabrik songket sudah lama saya pendam sejak menuntut di peringkat universiti lagi.

“Bahkan, tugasan-tugasan semasa di universiti juga saya gemar selitkan unsur-unsur warisan tradisional.

“Saya mahu ketengahkan rekaan Nusantara sekali gus memberi pendedahan kepada khalayak khususnya dari negara luar mengenai budaya negara kita,” jelasnya.

Justeru, Nur Zalikha memilih perniagaan tersebut sebagai medan untuk memartabatkan seni warisan supaya ia tidak lapuk dek zaman.

Buatan Itali

Koleksi The Songket Medley merupakan beg tangan katup kerangka keras buatan Itali dengan kemasan songket dari Terengganu, Kelantan dan Brunei.

Beza antara ketiga-tiga songket tersebut adalah dari segi motif dan corak.

Ia menggabungkan rekaan seni Timur dengan Barat dan didatangkan dalam saiz yang praktikal serta mudah untuk digunakan.

Beg tangan Tasbijoux dihasilkan menggunakan bahan seperti kulit dari Itali.

Motif songket akan dipotong dan dipadankan terlebih dulu di studio TasBijoux sebelum dihantar ke Itali untuk disiapkan di sana.

Hal ini bagi memastikan kualiti koleksi yang ditampilkan Tasbijoux setanding dengan jenama beg tangan terkemuka seperti Coach, Louis Vuitton dan Chanel.

Tasbijoux merupakan gabungan perkataan dalam bahasa Melayu dan Perancis yang membawa maksud tas tangan berharga.

Mengimbas kembali saat mula berjinak dalam industri pembuatan beg tangan sekitar penghujung 2015, Nur Zalikha mengakui dirinya terpaksa mengharungi pelbagai liku cabaran sebagai seorang usahawan.

“Semua orang berlumba-lumba mahu mengeluarkan produk yang mudah untuk dipasarkan seperti tudung, baju dan kasut.

“Menceburkan diri dalam perniagaan beg tangan daripada songket ini bagaikan kerja gila.

“Ini kerana senario perniagaan beg tangan jauh berbeza daripada perniagaan fesyen busana. Pereka fesyen yang laris menjual busana tidak semestinya mahir menjual beg tangan,” ujarnya.

Strategi pemasaran


Nur ZALIKHA mendapat sokongan kuat daripada suaminya, Ariff Shah untuk mengembangkan jenama Tasbijoux.


Hal ini kerana memasarkan beg tangan berkualiti setaraf jenama antarabangsa memerlukan formula dan strategi perniagaan yang berkesan.

Berbicara mengenai strategi pemasaran Tasbijoux, nilai eksklusif dalam setiap koleksi beg tangan songket hanya dikeluarkan dalam kuantiti terhad.

Dikategorikan sebagai Bespoke, beg yang dilancarkan dalam sesebuah siri tidak akan diulangi pada siri seterusnya.

Oleh itu, pemilik beg koleksi Tasbijoux akan sentiasa mempunyai reka bentuk beg tangan yang unik.

Disebabkan koleksi beg tangan Tasbijoux menyelitkan unsur tradisional warisan songket, ia tidak terikat dengan trend beg tangan tempatan.

Tambah Nur Zalikha, cabaran utama dalam mengusahakan beg tangan songket adalah dari segi mentaliti masyarakat yang lebih cenderung memilih jenama produk antarabangsa berbanding kualiti yang diketengahkan.

Katanya, kebanyakan masyarakat tempatan berpendapat bahawa jenama beg tangan antarabangsa dihasilkan di Itali namun hakikatnya ia salah.

“Mentaliti orang kita akan memilih untuk memakai pakaian jenama tempatan tetapi beg tangan wajib jenama antarabangsa.

“Namun hakikatnya, tidak semua jenama produk antarabangsa itu terjamin dari segi kualitinya kerana ia dihasilkan dalam skala besar di negara China.

“Di situlah kita mahu mendidik masyarakat untuk berfikir tidak mengapa jika tidak memakai beg jenama antarabangsa, sebaliknya memilih jenama tempatan kerana bahan beg tangan Tasbijoux kesemuanya diimport dan dihasilkan di Itali,” ujar gadis kelahiran Perak itu.

Beg tangan songket Tasbijoux boleh didapati pada harga bermula RM790 hingga RM1,190 bergantung kepada jenis songket, kulit, perkakasan serta kemasan yang digunakan.

Menariknya, koleksi Tasbijoux bukan sahaja diterima dalam kalangan masyarakat tempatan malah ia lebih disambut baik di negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Nur Zalikha berpendapat, hal ini kerana ekonomi rakyat Malaysia tidak sekukuh seperti negara jiran menyebabkan jumlah permintaan dalam kalangan peminat dari luar lebih tinggi berbanding masyarakat tempatan.

Disebabkan itu, Tasbijoux tidak tertumpu kepada pasaran tempatan semata-mata sebaliknya memfokuskan strategi pasaran negara yang kukuh dari segi ekonomi seperti Jepun dan Australia.

Pakaian harian

Selain itu, Tasbijoux disambut baik di Brunei kerana masyarakat negara itu yang membudayakan amalan berhias secara mewah sebagai pakaian harian.

“Ia menjadi sebahagian daripada budaya mereka untuk berhias termasuk memakai songket setiap hari.

“Disebabkan masyarakat kita tidak dapat memakai songket setiap hari, mereka lebih memilih pakaian moden yang lebih mudah untuk digayakan.

“Kita boleh lihat walaupun rakyat Brunei lebih moden berbanding di Malaysia, namun masyarakat negara itu begitu menghargai nilai tradisi warisan songket,” tambahnya.

Nur Zalikha berharap, usaha kerasnya dapat menjenamakan semula tekstil tradisi songket dalam bentuk beg tangan sebagai pelengkap gaya harian.