Kotak barangan GIVI lebih moden

MODEL Monolock B32 Bold sesuai untuk motosikal 400cc ke bawah.


PENERAJU jenama aksesori motosikal di Asia, GIVI Asia Sdn. Bhd. (GIVI Asia) baru-baru ini melancarkan kotak barangan berkapasiti 32 liter dinamakan sebagai Monolock B32 Bold untuk pasaran Malaysia.

Ia adalah satu produk yang direka di Itali dan dibuat di kilang GIVI Asia di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Jika dahulu kotak barangan GIVI lebih cenderung kepada bentuk bulat dan organik, model Monolock B32 Bold ini mengambil ciri-ciri moden daripada model E43 yang mempunyai bentuk berpetak tetapi pada saiz lebih kecil.

Menurut Pengarah Urusan GIVI Asia, On Hai Swee, kotak barangan model E43 popular dalam kalangan pemilik motosikal Malaysia dan ia mampu memuatkan dua topi keledar. Selain itu, bentuk kontemporarinya menarik perhatian pemilik motosikal berkuasa tinggi yang semakin popular sekarang.

“Begitupun, model Monolock B32 Bold direka untuk lebih cenderung kepada pemilik motosikal 400cc ke bawah. Gaya petak yang sama dengan kemasan perak juga memberikan imej lasak yang menjadi trend sekarang,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran Monolock B32 Bold di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Tambah Hai Swee, seramai 30 orang pengamal media tempatan juga dijemput pada program Tunggangan Penghargaan Media yang bermula dari GIVI Point Jalan Ipoh, Kuala Lumpur ke Hotel Thistle, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Kami telah mencuba dan menggunakan kotak barangan baharu ini dalam tunggangan motosikal bersama para pengamal media, malah dengan hujan lebat yang turun selama sejam dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban ke susur keluar Tol Port Dickson membuktikan kotak GIVI itu kalis air. Selain itu, tiada setitik air pun yang memasuki ruang penyimpanan itu.

“Antara motosikal yang turut serta dalam aktiviti ini dan menggunakan kotak barangan baharu ini ialah Yamaha FZ150i, Yamaha LC135, Yamaha NMax, Honda RS150R, Honda Future, Honda Wave, Vespa LX150, Demak DVS 110 dan Modenas Ace 115,” ujarnya.

Komponen utama

Jelas Hai Swee lagi, kotak barangan jenis terletak di atas itu menggunakan rekaan dan sistem kunci baharu yang lebih selamat serta mudah diguna.

“Polypropylena adalah bahan komponen utama yang digunakan kerana ia terbukti sangat kukuh dan telah lama digunakan, terutamanya dengan keadaan cuaca di Malaysia.

“Menggunakan sistem kunci clack, pengguna hanya perlu memusing kunci, menekan satu butang untuk membukanya, Bagi menutupnya pula, pengguna hanya perlu menutup kembali bahagian atasnya dan pusingkan kunci. Ia juga boleh dilakukan dengan kunci dicabut dari kotak tersebut,” terangnya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Luar Negara GIVI Asia, Joseph Perucca berkata, jaminan global selama dua tahun diberikan sekiranya pengguna memasang kotak tersebut dengan sistem rak keluaran GIVI Asia yang asli. Jika pengguna menggunakan rak jenama lain, tiada jaminan akan diberikan kepada mereka.

“Kotak barangan ini didatangkan sekali dengan kunci pendua dan tapak serta harga kerangka Monorack pula bergantung pada jenis motosikal.

“Kerangka ini boleh didapati bermula pada harga RM45 untuk model MV dan RM138 untuk model tahan lasak, manakala kotak barangan Monolock B32 Bold pula dijual berasingan pada harga RM222.60 bersama tapak Monolock,” katanya.

Tambah Perucca, pada program yang sama, para pengamal media turut diperkenalkan dengan bas persiaran dua tingkat yang digelar The Red Explorer. Ia berfungsi sebagai pameran bas bergerak dan ruang hospitaliti untuk pasukan gerak kerja GIVI dalam acara permotoran.

“Bas ini akan bertindak sebagai serampang dua mata iaitu pameran dan penjenamaan bergerak bagi kami. Dengan warna merah terang dan logo kami yang dikenali ramai, kami berharap dapat menjelajah seluruh negara dan mendekati para peminat jenama GIVI di acara-acara permotoran seperti Cub Prix dan MotoGP,” ujarya.