Siska bawa mesej daki tanpa sampah

SISKA gembira apabila berjaya melakukan pendakian tanpa sampah.


“Pemandangan di Gunung Rinjani sangat indah, namun sayang terlalu banyak sampah di kawasan itu,” kata Siska Nirmala ketika menceritakan pengalamannya mendaki gunung tersebut pada tahun 2011.

Bukan hanya Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, pendakiannya bersama rakan-rakan ke Gunung Semeru di Pulau Jawa setahun yang lalu turut terganggu dengan sampah sarap dibiarkan di sekitar kawasan tersebut.

Masalah tersebut telah menjadi motivasi kepada wanita yang lahir pada tahun 1987 itu untuk melakukan pendakian tanpa menghasilkan sampah.

Katanya, walaupun sampah dibawa turun ke kaki gunung, namun botol plastik tidak akan terurai.

Sebelum memulakan program pendakian tanpa sampah, Siska bertekad mengubah gaya hidupnya terlebih dulu untuk tidak menghasilkan sampah sama sekali.

Siska memulakan hidup tanpa sampah berbekalkan pengetahuan yang diperoleh semasa menjadi pelatih di Yayasan Pengembangan Biosains dan Bioteknologi (YPBB) di Bandung pada tahun 2010.

“Kalau saya mahu melakukan pendakian tanpa sampah, saya perlu bermula daripada diri sendiri. Saya mula mengurangkan pengeluaran sampah di rumah pada tahun 2013 dan perkara pertama yang dilakukan adalah tidak minum air dalam botol plastik,” katanya.

Mengakui usaha itu bukanlah mudah untuk dilakukannya, namun ia berhasil melakukan selepas setahun.

Bagi memastikan dirinya tidak minum air mineral dalam botol plastik, dia akan membawa botol minumannya sendiri ke mana-mana sahaja. Jika ingin menikmati jus, Siska akan meminta penjual menyediakan minuman itu dalam gelas.

“Selepas mencuba untuk mengurangkan amalan minum air dalam botol, saya kemudian mula mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Ketika berbelanja, saya akan meminta penjual untuk memasukkan barangan dibeli ke dalam beg kain yang dibawa bagi mengurangkan sampah,” jelasnya.

Selain itu, Siska juga tidak pergi ke pasar mini agar tidak tergoda membeli makanan ringan yang kebanyakannya dibungkus dengan plastik.

Hasilnya, Siska mula makan banyak sayur yang dibeli di pasar tradisional, sekali gus menjadikannya lebih sihat.

Bagaimanapun, dia turut berdepan dengan kesukaran untuk menolak penggunaan beg plastik di pasar raya kerana budaya penjual yang terlalu pemurah memberi beg plastik kepada pembeli.

“Untuk menolak beg plastik adalah sukar, jika saya mahu menggunakan beg kain, penjual akan melarang kerana khuatir akan mengotorkan beg yang dibawa,” ujarnya.

Tujuan utama

Siska yang merupakan seorang wartawan di Pikiran Rakyat gemar melakukan pendakian tanpa sampah yang diberi nama Zero Waste Adventure.

Dia pernah melakukan pendakian di lima buah gunung iaitu di Gunung Gede di Jawa Barat, Papandayan (Jawa Barat), Tambora (Pulau Sumbawa), Lawu (perbatasan Jawa Tengah dan Jawa Timur) dan Argopuro (Jawa Timur) bermula pada tahun, 2013 hingga 2015.

“Pada awalnya saya menyasarkan untuk mendaki 10 buah gunung dalam tempoh dua tahun, namun apabila difikirkan semula itu bukanlah tujuan utama kerana yang paling penting adalah mengembara tanpa sampah,” jelasnya.

Siska memilih Gunung Gede sebagai pendakian pertamanya kerana hanya memerlukan dua hari untuk mendaki gunung tersebut, sekali gus tidak perlu membawa banyak bekalan.

Ternyata untuk menerapkan keazaman mendaki tanpa sampah bukanlah sukar baginya. Jika orang lain sudah biasa membawa mi segera sebagai bekal makanan, Siska pula membawa beras dan sayur-sayuran untuk dibuat sup selain serbuk teh yang disimpan dalam bekas.

“Kami membawa sayur-sayuran, beras dan tembikai susu semasa mendaki,” katanya yang membuang sisa makanannya dengan cara menanam.

Pendakian

Selepas percubaan pertamanya di Gunung Gede berjaya, Siska meneruskan pengembaraan ke gunung-gunung yang lain.

Situasi paling sukar ketika mendaki Gunung Argopura kerana perlu menempuh perjalanan, yang mengambil masa sehingga lima hari untuk melalui laluan pendakian terpanjang di Indonesia itu.

Ujar Siska, perkara utama yang perlu diberi tumpuan ketika melakukan pendakian adalah memastikan bekalan makanan yang dibawa mencukupi.

Pendaki perlu mengira hari dan jumlah bekalan yang diperlukan sepanjang perjalanan, selain pandai mencari mata air.

Contohnya, pendakian lima hari memerlukan berapa banyak air dan perlu mengambil kira sama ada di sana ada mata air atau tidak.

“Jika di Argopuro, setiap pos di sana mempunyai air dan kami hanya perlu membawa dua botol.

“Di gunung itu juga terdapat salad yang membolehkan pendaki memakannya pada hari ketiga dan keempat ketika berada di sana,” ujarnya.

Siska memberitahu, setiap perjalanannya, dia akan mengajak rakan-rakan yang berbeza untuk mengikutnya melakukan pendakian bagi mengajar mereka untuk tidak membawa sampah ke gunung.

Pengembara itu turut mewujudkan satu akaun Instagram bernama Zero Waste Adventure dan ternyata ia menerima pelbagai respons daripada orang ramai yang bertanya mengenai panduan membawa makanan tanpa plastik sehinggalah cara membuang sampah.

“Ada juga yang tersalah anggap Zero Waste Adventure itu adalah satu akaun komuniti, sedangkan ia cuma satu akaun peribadi untuk mempromosikan gaya hidup tanpa sampah ketika mendaki.

“Saya menerima pelbagai respons seperti cara mengurangkan sampah botol, membuang sampah dan bekal yang perlu dibawa ketika mendaki,” katanya.

Menurutnya, ada beberapa pendaki yang hanya fokus untuk tidak membawa sampah ke gunung dan memindahkan makanan yang berbungkus plastik seperti sosej atau bakso ke dalam bekas makanan.

Ada pula yang memberi tumpuan kepada berapa banyak bekas makanan yang perlu dibawa.

Jelas Siska, jika tahu bagaimana untuk menyusun bekal, mereka tidak perlu membawanya terlalu banyak. Sebagai contoh, katanya, sayur-sayuran dan beras boleh dimasukkan ke dalam beg kain, manakala telur pula disimpan di dalam bekas beras itu.

Ekspedisi Siska ke kelima-lima gunung tersebut telah dikongsi dengan orang ramai menerusi buku bertajuk Zero Waste Adventure.

Siska juga berhasrat untuk mempromosikan hidup tanpa sampah dengan cara yang lain dengan cara budaya.