Pegawai dan anggota ATM terlibat Op Daulat diberi anugerah Battle Honour

12/08/2017 9:54am


Hishammuddin diiringi oleh Ketua Menteri Sabah,Datuk Seri Musa Aman menyampaikan Pingat Anugerah Battle Honour kepada Brigediar Jeneral Datuk Md Zaki Md Zain pada perbarisan Penganugerahan Battle Honour "Daulat Feb 2013" di Padang Merdeka Kota Kinabalu di sini malam tadi.


KOTA KINABALU - Penganugerahan Battle Honour 'Daulat Feb 2013' bukan sekadar upacara simbolik tetapi ia bertujuan untuk mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah tentang keselamatan dan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata majlis yang diadakan julung kalinya itu mempunyai erti yang tersendiri bagi mengingatkan seluruh rakyat tentang bagaimana susahnya pasukan keselamatan yang terlibat dalam Op Daulat menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu pada Februari 2013.

"Untuk memastikan kedaulatan dan maruah Malaysia yang merdeka ini tidak tercemar, mereka (pasukan keselamatan) terpaksa berkorban keringat, air mata dan darah demi memastikan negara tetap dalam keadaan aman dan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Battle Honour 'Daulat Feb 2013' di Padang Merdeka, Kota Kinabalu di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Johari Baharom, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat Diraja Malaysia Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Perbarisan Penganugerahan Battle Honour 'Daulat Feb 2013' itu disertai 230 pegawai dan 1,880 anggota daripada ketiga-tiga cabang ATM iaitu Tentera Darat Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Pada majlis itu Hishammuddin juga menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 61 pegawai dan anggota ATM yang terlibat secara langsung semasa 'Op Daulat'.

Beliau berkata Penganugerahan Battle Honour 'Daulat Feb 2013' ini merupakan antara pengiktirafan kepada pasukan ATM yang terlibat dalam pertempuran untuk diabadikan pada panji pasukan.

"Berdasarkan kesungguhan, kecekalan dan ketabahan ketika mengharungi cabaran getir sewaktu insiden pencerobohan itu pihak ATM telah berbesar hati untuk mengurniakan anugerah Battle Honour kepada 24 pasukan yang terlibat.

"Anugerah PKN pula dikurniakan khas sebagai menghargai dan mengiktiraf jasa serta pengorbanan setiap anggota ATM yang terlibat dan sebahagian besar lagi anggota akan menerima anugerah ini secara berperingkat pada sesi akan datang," katanya.

Pada 12 Feb 2013, kawasan timur Sabah telah dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan penceroboh bersenjata di pesisiran pantai Kampung Tanduo Lahad Datu.

Ekoran itu, Op Daulat dilancarkan pada 5 Mac 2013 selepas kejadian serangan hendap oleh pengganas sulu di kampung itu dan Kampung Simunul, Semporna yang mengorbankan nyawa 10 anggota keselamatan. - Bernama