Hutan Simpan Kuala Langat Utara sering terbakar - NRE

12/08/2017 9:23am


Pemandangan kebakaran dari udara di hutan simpan Kuala Langat Utara dirakam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semasa melakukan pemadaman api dengan menggunakan Pesawat Bombardier CL415 MP Maritim Malaysia.


KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kejadian kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Sepang, Selangor merupakan kawasan hutan tanah gambut yang sering terbakar.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata JAS telah menerima maklumat pada 3 Ogos lepas daripada Jabatan Hutan Negeri Selangor mengenai kebakaran di hutan berkenaan dan siasatan ke lokasi kejadian dilakukan JAS cawangan Sepang pada hari yang sama.

"Kebakaran hutan itu meliputi kawasan seluas 95.39 hektar manakala keluasan kawasan keseluruhan hutan tersebut ialah 958.49 hektar. Justeru kerja-kerja pemadaman masih dijalankan dengan kaedah secara terus, melebarkan kawasan menghalang rebakan api dan kerja mendalamkan rebakan api sedia ada masih diteruskan.

"Tiga buah telaga tiub telah diaktifkan untuk membekalkan air ke parit di kawasan api merebak dan seterusnya dipam untuk kerja-kerja pemadaman kawasan yang terbakar secara keseluruhan," kata kementerian.

Selain itu, bantuan 'pengeboman air' oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut dilakukan bermula pukul 11 pagi sehingga pukul 3 petang pada 9 Ogos lepas.

Pemadaman melalui pengeboman air itu telah berjaya mengurangkan kebakaran daripada merebak dan mengurangkan asap di kawasan berkenaan dan pada masa yang sama kerja- kerja pemadaman masih diteruskan oleh pihak bomba dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains, katanya.

Lain-lain agensi kerajaan yang turut membantu ialah Polis Diraja Malaysia, Unit Pengurusan Bencana negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat dan Majlis Daerah Kuala Langat.

"Sehubungan itu JAS telah menjalankan kerja-kerja pemantauan dan rondaan secara harian bagi memastikan tiada pembakaran terbuka baru dilakukan di kawasan tersebut. Punca kebakaran masih disiasat oleh pihak bomba dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

"Sehingga kini tiada kebakaran baru berlaku dan ia tidak merebak ke kawasan lain. Semua kawasan yang terlibat dalam kebakaran kini hanya tinggal bara tunggul kayu dan akar pokok-pokok yang mengeluarkan asap yang menyebabkan jerebu di kawasan berdekatan," katanya.

Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Utara telah mengakibatkan jerebu di kawasan sekeliling yang turut memberi kesan kepada kawasan di Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang, Selangor.

Sehubungan itu bagi menangani cuaca panas dan kering, kementerian melarang orang ramai melakukan pembakaran secara terbuka, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dan semua pemilik tanah juga dinasihatkan agar memantau secara rapi kawasan- kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri, katanya. - Bernama