Kerajaan Persekutuan tanggung subsidi hingga lebih RM120,000 bagi seunit PPR

12/08/2017 2:07pm


Najib melihat model rumah PPR di Machang hari ini.


MACHANG - Kerajaan Persekutuan menanggung subsidi antara RM80,000 hingga lebih RM120,000 bagi pembinaan setiap unit rumah dalam lapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak lapan projek PPR termasuk 1,000 unit di Kota Bharu sedang dan sudah siap dibina di Kelantan membuktikan bahawa kerajaan sedia ada kini melakukan projek yang menyentuh hati dan perasaan rakyat.

"Kerajaan persekutuan memberikan subsidi kepada setiap unit rumah, ada subsidi bernilai RM80,000 hingga RM120,000 malah ada lebih lagi mengikut kontrak serta kos tanah.

"Kerajaan menetapkan harga sebuah unit ini RM35,000 dan hari ini saya melancarkan satu lagi sebanyak 418 unit PPR bernilai RM75 juta di Machang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Parlimen Machang yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. - K! ONLINE