Pelajar tingkatan lima maut jatuh dari balkoni hotel

12/08/2017 2:03pm


Seong Yan


KAMPAR - Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas terjatuh dari tingkat lima Hotel Grand Kampar di sini dipercayai sewaktu sedang menghisap rokok di ruang balkoni hotel awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 pagi itu, mangsa, Hon Seong Yan, 17, yang berasal Taman Bukit Desa, Kuala Lumpur ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah di hadapan lobi hotel tersebut.

Ketua Polis Daerah Kampar,Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa merupakan salah seorang daripada 42 peserta Petaling Jaya Evangelical Free Church yang menyertai seminar keagamaan kristian di Hotel Grand Kampar.

Jelasnya, berdasarkan keterangan pengadu yang juga merupakan pensyarah University Group Petaling Jaya dan yang bertanggungjwab membawa peserta, sewaktu kejadian, mangsa memaklumkan kepadanya untuk pergi ke balkoni bilik hotel.

"Mangsa dipercayai pergi ke bahagian balkoni untuk menghisap rokok memandangkan perbuatan tersebut tidak boleh dilakukan di dalam bilik hotel yang mempunyai pendingin hawa.

"Selepas itu, pensyarah itu telah keluar dari bilik untuk bertemu dengan rakannya," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Kong Soon, selepas 20 minit, pensyarah itu pulang ke bilik dan mendapati mangsa sudah tiada.

Jelasnya, dia dan rakan mangsa telah pergi ke bahagian balkoni bilik dan melihat Seong Yan telah berada dalam keadaan terbaring di atas lantai lobi hotel tersebut.

Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan parah pada bahagian kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi.

"Siasatan di lokasi kejadian juga mendapati mangsa dipercayai terjatuh akibat ruang di balkoni hotel terlalu sempit," katanya.

Jelasnya, mayat mangsa telah dituntut oleh bapanya untuk urusan pengkebumian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - K! ONLINE