PM rasmi bangunan tambahan Hospital Jeli

12/08/2017 3:42pm


Najib ketika tiba di daerah Jeli.


JELI - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan bangunan tambahan Hospital Jeli, di sini yang bernilai RM57 juta untuk dimanfaatkan kira-kira 47,000 penduduk daerah ini.

Menurut Najib, projek bangunan tambahan itu menjadi bukti kecaknaan kerajaan Persekutuan kepada rakyat di mana sahaja mereka berada tanpa mengira sama ada sesebuah negeri itu ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) atau tidak.

"Semoga dengan terbinanya blok bangunan tambahan Hospital Jeli ini, rakyat di sekitar Jeli akan dapat menikmati kemudahan rawatan yang lebih selesa dan berkualiti," katanya ketika merasmikan bangunan tersebut di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Maher.

Bangunan tambahan tersebut yang siap dibina pada 2016 mempunyai tambahan 56 katil menjadikan jumlah keseluruhan katil di Hospital Jeli kini adalah sebanyak 80 katil.

Selain jumlah katil, skop perkhidmatan yang dipertingkatkan ialah penambahan dua dewan bedah, Unit Pensterilan (CSSU), Unit Patologi dan Tabung Darah, Bilik Isolasi, Unit Rekod Perubatan dan pertambahan ruang letak kereta. - K! ONLINE