Empat sekeluarga direman tujuh hari bantu siasatan kes rogol

12/08/2017 3:16pm


Empat sekeluarha direman bantu siasatan kes rogol gadis berusia 19 tahun.


KOTA SAMARAHAN - Empat sekeluarga yang disyaki merogol seorang gadis berusia 19 tahun di Kampung Daha Seroban, Serian sejak enam tahun lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Samarahan, Dayang Roselind Awang Mahdini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Terdahulu, keempat-empat suspek yang berpakaian lokap polis tiba di pekarangan mahkamah di sini kira-kira pukul 1 petang.

Kosmo! semalam melaporkan perbuatan terkutuk seorang bapa kandung, datuk serta dua bapa saudara yang merogol seorang remaja perempuan sejak enam tahun lalu akhirnya terbongkar selepas gadis berusia 19 tahun itu disahkan hamil selama 25 minggu oleh doktor di Hospital Serian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 26 hingga 57 tahun itu telah ditahan di sebuah rumah di Kampung Daha Seroban pada pukul 3.30 petang.- K! ONLINE