Pelajar ILP Marang sedang leka memancing mati lemas terjatuh ke dalam parit monsun

12/08/2017 4:55pm


Sungai yang mengorbankan seorang pelajar.


KEMAMAN - Keseronokan dua sahabat memancing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam parit monsun yang sedalam kira-kira empat meter di Kampung Geliga Che Akob di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.50 malam tersebut, mayat Che Mohammad Sayuti Che Jusoh, 20, (gambar kecil) yang merupakan pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang ditemui di dasar parit monsum sedalam kira-kira empat meter itu lebih sejam kemudian.

Rakan mangsa, Mohd. Syafiq Yusni, 21 berkata, sewaktu kejadian, mereka sedang memancing di parit monsun terbabit yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Che Mohammad Sayuti yang sedang berdiri di tepi parit itu sedang membetulkan tali pancingnya yang kusut sebelum tergelincir. Kejadian berlaku dengan pantas, saya jenguk ke dalam parit itu dan panik selepas mendapati kelibatnya sudah tenggelam di dalam parit berkenaan.

"Saya tidak berani untuk turun ke dalam parit yang gelap dan dalam itu kerana tidak tahu berenang. Saya kemudiannya menjerit untuk meminta bantuan orang kampung," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini hari ini. - K! ONLINE