Subsidi, insentif bantu stabil harga durian

12/08/2017 6:17pm


Gambar hiasan


PEKAN - Pemintaan yang tinggi berbanding bekalan yang berkurangan merupakan antara faktor harga durian sedikit meningkat tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kebanyakan hasil dieksport luar negara seperti China dan Singapura menyebabkan harga durian seperti Musang King melonjak sehingga RM140 sekilogram.

"Kita di kementerian tidak boleh menetapkan harga siling bagi durian. Ia memang mahal sikit di pasaran tempatan berbanding tahun sebelum ini dan ia berpunca daripada kekurangan bekalan.

"Apa yang kita boleh buat untuk kawal (stabilkan) harga bagi pasaran tempatan ialah dengan memberikan subsidi serta insentif kepada pekebun untuk menanam lebih banyak pokok durian dan apabila banyak bekalan, pasti harganya kembali stabil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gelombang Tani Nasional 2017 di Perkarangan Dewan Serbaguna Kampung Pahang Tua, di sini, hari ini. - Bernama