Remaja maut dalam perjalanan menghadiri ujian memandu

12/08/2017 7:20pm


Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan beberapa bahagian badan.


KLANG - Hasrat seorang remaja untuk menghadiri ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan lesen percubaan (P) tidak kesampaian apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di persimpangan Jalan Mantin-Kapar di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.22 pagi itu, mangsa, Mohammad Afdzal Alias, 19, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan, Muhammad Irwani Nooruldin berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pendamar, Pelabuhan Klang menghala ke Kapar bagi menghadiri ujian tersebut.

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangi mangsa dipercayai telah melanggar bahagian depan sebelah kanan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

"Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa hilang kawalan dan mangsa kemudiannya tercampak ke atas jalan raya. Mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - K! ONLINE