Tiga beranak proses samsu haram diberkas

12/08/2017 8:46pm


Sebahagian daripada tong berisi cecair dipercayai samsu haram yang ditemui.


PADAWAN - Kegiatan tiga beranak termasuk seorang pesara guru yang memproses samsu haram sejak dua tahun lalu akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Git, Padawan di sini hari ini.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 38 hingga 65 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pada pukul 9.25 pagi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, serbuan hasil maklumat awam dan risikan polis itu berjaya menemui 75 tong berisi cecair dipercayai samsu haram.

Menurutnya, anggota polis turut menemui beberapa peralatan untuk memproses samsu haram iaitu tiga unit dapur aluminium berbentuk silinder serta tiga tong gas memasak.

"Siasatan awal mendapati, samsu haram yang siap diproses akan dijual kepada penduduk setempat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - K! ONLINE