Hidangan autentik Jepun di Tampopo

RUANG makan Tampopo luas dan selesa untuk seisi keluarga.


TATKALA kaki melangkah ke restoran makanan Jepun, Tampopo di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini, mata disambut dengan dekorasi kontemporari yang tampak ringkas tetapi cukup membuatkan diri berasa lebih relaks.

Pemilihan kerusi meja dan atur letak yang pelbagai pasti sesuai untuk semua pelanggan yang datang menjamu selera sama ada secara beramai-ramai atau bersendirian.

Pengarah Urusannya, Takaaki Takagi berkata, Tampopo tidak asing lagi di negara jiran, Singapura sementelah ia telah bertapak di republik itu sejak 14 tahun lalu.

Dinobatkan sebagai Restoran Jepun Terbaik di Singapura oleh AsiaOne People’s Choice Award 2016, Tampopo membuka cawangan pertama di Malaysia dan mula beroperasi pusat beli-belah Sky Avenue, Genting Highlands, Pahang sejak Januari lalu.

“Tampopo yang merupakan perkataan dalam bahasa Jepun itu bermaksud bunga dandelion.

“Ia sejenis tumbuhan yang lasak dan mampu membiak biarpun dalam keadaan yang sukar di samping setia menyebarkan biji benihnya ke serata tempat apabila ditiup angin.


Katsu ayam enam dimakan bersama sup miso dan kubis cincang.


“Mendapat ilham daripada ciri-ciri bunga ini, kami berhasrat untuk berkongsi pengalaman sempurna rasa autentik masakan Jepun kepada pelanggan-pelanggan kami,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Filem komedi

Tambahnya, nama Tampopo turut diambil bersempena dengan filem komedi berjudul Tampopo yang dihasilkan pada tahun 1985.

Ia mengisahkan seorang ibu tunggal bernama Tampopo yang mengusahakan perniagaan sajian ramen secara kecil-kecilan.

“Tampopo pada mulanya hidup susah dan mula menjual ramen di gerai tolak tepi jalan. Pelbagai rintangan dilaluinya, namun akhirnya perniagaan itu menjadi semakin baik dan dia sekeluarga hidup bahagia,” ceritanya.

Tampopo menawarkan lebih 100 menu pada harga serendah RM9.90 hingga RM40. Ia meliputi tiga hidangan signatur iaitu ramen, susyi dan ayam katsu yang merupakan daging ayam dicelup tepung serta serbuk roti sebelum digoreng.


RAMEN ayam gaya masakan ala Hakata ini lebih kenyal dengan kuah tidak terlalu pekat.


Lebih istimewa, sebagai meraikan pencinta makanan di Malaysia, pihaknya menyediakan katsu ayam dalam saiz jumbo mencecah 71 sentimeter pada harga berpatutan.

“Serbuk roti yang digunakan rendah kalori kira-kira 70 peratus daripada serbuk roti yang biasa dan turut diiktiraf di Jepun. Ia membuatkan hidangan itu kurang berminyak dan lebih sihat,” tuturnya.

Turut menarik perhatian ialah udon atau mi gandum tebal yang dihidangkan bersama kari daging yang agak pekat dan jauh berbeza dengan kari tempatan, namun rasanya mesra pada cicipan lidah.

“Sebenarnya buat masa ini kami belum mempunyai sijil halal. Begitupun kami dalam proses untuk mendapatkannya,” jelasnya ketika ditanya status perakuan halal restoran tersebut.