Cita rasa moden dengan rona putih dan hijau

PEMILIHAN bangku santai dari rona merah jambu terang menjadikan ruang tamu kelihatan lebih berseri dan memukau.


SIAPA sangka, kerjaya sebagai perunding perkahwinan boleh memberikan inspirasi dalam mendapatkan idea untuk menghias kediaman hingga ia kelihatan cukup memukau.

Kali ini, kru Jurnal berpeluang mengintai kediaman jenis semi-D dua tingkat milik pasangan suami isteri, Mohamad Azemi Johar, 25, dan Siti Nurhazwani Mohd. Zabri.

Terletak di Sungai Isap Jaya, Kuantan, Pahang, pasangan suami isteri itu memilih konsep dekorasi ala moden untuk diketengahkan pada kediaman mereka.

Membuka bicara, Siti Nurhazwani yang mesra disapa Wany berkata, dia cukup sukakan konsep kediaman yang diketengahkan dan mengakui berasa tenang setiap kali berada di rumah.

“Kami mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 dan terus berpindah masuk ke kediaman ini.

“Jika bercakap tentang konsep pilihan, saya klasifikasikannya sebagai moden dan ringkas. Idea dekorasi merupakan gabungan idea daripada saya dan suami.

“Syukur, ia menjadi dan kami cukup sukakannya,” ujar Wany.

Menurut wanita berusia 25 tahun itu lagi, kerjaya sebagai perunding perkahwinan sememangnya mencabar dan kadangkala menjadikan pasangan itu mudah tertekan.

Pokok kecil

Pasangan itu berasa perlunya untuk mempunyai sebuah rumah dengan dekorasi yang tenang dan memikat.

“Pada saya, hiasan dalaman di rumah adalah amat penting kerana selepas seharian bekerja, kita semestinya memerlukan satu tempat selesa dan menenangkan bagi melepaskan lelah.

“Dengan hiasan dalaman yang cantik, barulah sesebuah kediaman itu boleh dipanggil home sweet home,” ujar Wany.

Memilih rona putih untuk melatari dinding ruang tamu, ia berjaya menampakkan sudut itu tampak luas dan cukup selesa sebagai ruang santai.

Pemilihan sofa dengan reka bentuk moden pula berjaya menyerlahkan lagi kawasan ruang tamu.

Biarpun penuh dengan dekorasi kecil seperti pasu-pasu bunga pelbagai corak dan bentuk, keseluruhan kediaman tidak langsung kelihatan serabut kerana Wany dan suaminya cukup bijak memilih perhiasan yang tepat agar ia tidak nampak sarat.


BAGI ruang santai kedua ini, Wany masih memilih rona putih sebagai warna utama ruang, namun diserikan dengan limpahan warna biru cair pada dinding.


“Saya cukup menyukai pokok-pokok kecil sebegini sebagai hiasan dalam rumah.

“Selain menyerikan kediaman, harganya juga murah dan ada yang dibeli pada harga serendah RM15,” ujarnya.

Cetusan idea sendiri

Bagi mencipta keseimbangan dengan hiasan pokok, pasangan ini memilih cat daripada rona hijau zamrud sebagai warna utama dan hasilnya cukup memukau.

Deretan pokok-pokok kecil seperti kaktus dan keladi kecil diletakkan pada ruang tamu kerana menurut Wany, itu merupakan ruang kegemaran mereka sekeluarga.

“Memandangkan saya dan keluarga banyak menghabiskan masa di ruang tam. Saya suka ia dipenuhi pokok-pokok hijau yang mendamaikan,” ujarnya.

Padanan konsep hiasan dalaman dengan aksesori pilihan menjadikan kru Jurnal tertanya-tanya adakah pasangan itu mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman bagi menyempurnakan konsep dekorasi.

“Sebenarnya, idea dekorasi datangnya daripada kami berdua. Saya memang minat bidang hiasan dalaman dan sentiasa mencari masa untuk menghias rumah.

“Selain itu, memandangkan kami mengusahakan khidmat perancang perkahwinan, adakalanya saya mengambil konsep perkahwinan pelanggan dan mencubanya di kediaman sendiri dan inilah hasilnya,” ujar Wany lagi.

Selain pelanggan, pasangan yang gemar melancong itu juga akan menerapkan idea dekorasi daripada negara-negara yang pernah dilawati untuk diterjemahkan pada kediaman.

Bagi penataan cahaya pada sudut kediaman pula, Wany dan suaminya dilihat banyak bermain dengan cahaya semula jadi.


BAGI meja makan, pasangan suami isteri itu memilih meja makan jenis kayu kerana ia lebih sesuai dengan konsep moden pada kediaman mereka.


Cermin vintaj

Warna putih pada dinding dengan padanan langsir daripada rona sama dilihat sudah cukup untuk menjadikan rumah itu tampak terang dan cantik tanpa perlu meletakkan lampu-lampu terang.

Begitu pun, beberapa unit lampu kecil dengan cahaya jingga malap turut diletakkan, terutamanya di kawasan bilik tidur bagi mendapatkan suasana romantis dan mendamaikan.

Memandangkan pasangan muda ini tinggal berdua sahaja, meja makan bersaiz sederhana dengan empat kerusi makan menjadi pilihan tatkala menjamu selera.

Material kayu daripada rona coklat cair itu dilihat merupakan pilihan yang cukup sesuai dengan konsep moden yang diketengahkan.

Di sudut tangga pula, bingkai-bingkai potret perkahwinan pasangan itu berjaya mencuri perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya.

Susun atur yang kemas dengan pemilihan rona klasik hitam dan putih menampakkan sudut itu kelihatan memukau.

Ujar Wany, bingkai-bingkai potret perkahwinan itu cukup bermakna kerana ia turut menjadikan pasangan lain di luar sana mengidamkan sudut sebegitu pada kediaman mereka.

“Saya tidak sangka sudut ini mendatangkan idea dan ilham kepada pasangan lain untuk mewujudkan ruang itu pada kediaman mereka.

“Sudut ini juga cukup bermakna pada saya dan suami kerana daripada situlah, idea untuk mewujudkan syarikat perunding perkahwinan milik saya dan suami yang dinamakan Kayuwoods,” ujarnya panjang lebar.

Keindahan ruang kediaman tentu sahaja menjadikan ramai orang tertanya-tanya tentang jumlah wang yang dilaburkan bagi mendapatkan konsep kediaman pilihan.

Tidak lokek berkongsi kos dekorasi, Wany memberitahu kos menata rias rumahnya itu menelan belanja sekitar RM10,000.

“Memandangkan kami gemarkan konsep Do It Yourself, banyak kos yang boleh dijimatkan.

“Selain itu, saya gemar melihat-lihat barang dekorasi yang cantik dan membelinya secara online.

“Contohnya, laci rotan daripada rona putih yang diletakkan di ruang tamu ini mungkin nampak mahal, namun ia hanya dibeli di laman web Lazada dengan harga RM350 sahaja,” ujar wanita kecil molek itu.

Ditanya tentang konsep hiasan dalaman yang belum terlaksana, Wany berkata, dia mengidamkan sebuah cermin besar berkonsepkan vintaj dan elegan, namun ia perlu ditempah kerana tidak dijual di mana-mana.