‘Tak terfikir menyanyi sama’



BAIK Siti Nordiana mahupun Jaclyn Victor, masing-masing mempunyai aura tersendiri. Mereka berdua berkelana dalam satu lapangan yang sama. Cuma, barangkali membezakan hanyalah usia perjalanan yang sudah dilalui mereka selama ini dalam dunia seni suara.

Dalam tempoh itu juga, masing-masing memperjuangkan lagu-lagu yang mengikut rentak mengikut cita rasa masing-masing. Jika Siti Nordiana atau lebih mesra di sapa Nana lebih cenderung kepada aliran muzik bergenre pop dan irama tradisional, Jaclyn pula punya kelebihan dalam naskhah berentak pop rock dan R&B.

Justeru, mereka sendiri tidak pernah menyangka bahawa pada hari ini, selepas lebih sedekad mencari rezeki dalam bidang seni suara, Nana dan Jac disatukan buat pertama kali menerusi karya baharu yang menampilkan mereka berdua berduet menerusi lagu Nisan Cinta.

Semestinya, kerjasama yang terjalin itu memberi satu pengalaman berbeza buat dua insan ini. Mana tidaknya, jika dilihat daripada julat suara mereka, ada yang menyifatkan gabungan mereka berdua seolah-olah seperti tidak kena pada regunya. Ini kerana, Jaclyn dilihat punya kelebihan daripada sudut lagu-lagu bernota tinggi berbanding Nana.

Bagaimanapun, kedua-duanya berjaya membuktikan bahawa gandingan sulung itu merupakan satu percubaan cukup baik. Selepas lagu tersebut diperdengarkan secara rasmi kira-kira tiga minggu lalu, naskhah tersebut sudah mencecah hampir setengah juta tontonan di saluran YouTube.

Angka itu sudah membuktikan karya yang turut menjadi lagu runut bunyi bagi drama bersiri Dendam Aurora itu diterima baik. Bagaimanapun, di sebalik Nisan Cinta ini sebenarnya masing-masing punya cerita tersendiri.

Belum temui cinta

Bagi Nana peluang yang diberikan merupakan satu penghormatan buatnya. Apatah lagi dapat bergandingan dengan Jaclyn, kata Nana, dia sendiri tidak pernah terfikir bakal disatukan dengan penyanyi lagu Gemilang itu.


SITI Nordiana tidak merancang untuk mempunyai teman pengganti dalam masa terdekat.


“Tak pernah terfikir pun akan berduet sama, apatah lagi kalau melihat suara kami agak sedikit berbeza. Ada juga orang tertanya-tanya sesuai ke kerana berbeza genre. Memandangkan ini pertama kali, memang rasa gementar juga.

“Alhamdulillah, Jac pun banyak bantu saya. Apa yang saya boleh katakan, lagu ini memang menguji kekuatan vokal dan lari sedikit daripada imej lagu kebiasaan yang saya bawakan,” kongsi penyanyi berusia 33 tahun itu kepada Sensasi Bintang ketika ditemui sewaktu sesi fotografi di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengenai pengertian Nisan Cinta, kata Nana, ia merupakan sebuah lagu yang memberi analogi kepada keutuhan kisah cinta sehingga mati. Bagaimanapun, ketika diusik dengan kisah ‘nisan cinta’ yang mungkin sudah dimiliki Nana, penyanyi itu hanya tertawa.

“Amboi, soalan dia. Mana ada (cinta). Saya sibuk dengan kerja sahaja. Buat masa ini memang nak fikir kerja terlebih dulu. Lagipun, keluarga pun tidak kisah pun (mengenai perkahwinan). Tambahan pula, anak saya pun sendiri pernah beritahu tak perlu ayah baharu pun. Dia kata, ‘ayah Rayyan kan ada di kubur’,”kongsinya yang kini memberitahu anak sulungnya Muhammad Rayyan Nakhaie sudah mencecah usia sembilan tahun.

Pelantun lagu Terus Mencintai itu mengakui ada yang cuba mendekatinya. Bagaimanapun, kata Nana, dia belum terfikir untuk mencari teman pengganti.

“Mungkin ada (yang cuba mendekati untuk memikat), tetapi saya tidak tahu. Selalunya, saya kalau mesej pun layan begitu sahajalah. Kadang-kadang pengurus saya juga maklumkan ada individu yang cuba hantar mesej kepada saya. Mereka guna nombor telefon diletakkan di laman sosial,” seloroh Nana.

Nyanyi lagu anak didik

Bagi Jaclyn atau mesra disapa sebagai Jac pula, katanya, karya itu punya signifikan tersendiri dalam perjalanan kariernya sebagai penyanyi. Ini kerana, lagu tersebut merupakan karya hasil ciptaan anak didiknya suatu masa dahulu, iaitu penyanyi dan komposer yang semakin meningkat naik, Hael Husaini.


SINGLE Nisan Cinta merupakan hasil karya komposer Hael Husaini yang juga merupakan anak didik Jaclyn ketika di program Mentor.


Menurut Jac, Hael pernah menjadi protege kepadanya sewaktu dirinya menyertai program realiti, Mentor pada tahun 2009. Sejak dari situ lagi, dia sudah dapat melihat potensi yang ada pada diri anak didiknya itu. Bagaimanapun, ketika itu mungkin rezeki belum berpihak kepadanya.

“Saya tahu memang dia ada bakat ketika itu. Orang kata, sejuk sikit perut apabila dapat tahu dia sudah berjaya sebegini. Sekarang saya pula yang menyanyikan lagu yang dihasilkan anak didik sendiri.

“Bangga melihat kejayaannya. Apa yang saya lihat, dia memang seorang yang berusaha kuat dan jauh lebih baik daripada sewaktu saya jumpa mula-mula di Mentor. Dia seorang yang bagus,” kongsi penyanyi berusia 39 tahun itu.

Ditanya mengenai kerjasama bersama Nana, kata Jac, lagu tersebut terpaksa dirakamkan secara berasingan dek kekangan jadual kerja masing-masing. Sungguhpun begitu, bekas juara Malaysian Idol itu memberitahu, proses penghasilan lagu tersebut berjalan dengan cukup lancar.

“Lagu ini dihasilkan dalam tempoh yang sekejap sahaja. Lagipun, apabila dengar lagu tersebut, ia mudah melekat di telinga. Jadi, ia memudahkan kami untuk bawakan lagu tersebut. Kami menjalani rakaman kira-kira dua bulan yang lalu.

“Apa yang menariknya, lagu ini punya susunan muzik yang cukup harmoni. Saya punya suara bernada tinggi, Nana pula akan menyanyikan bahagian yang sedikit lembut bunyinya. Kalau dua-dua tinggi pun tak sesuai sebenarnya,” kongsinya yang memberitahu dirinya kini bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label rakaman.