Elak minuman manis bersama makanan tinggi protein


MINUMAN manis yang diambil bersama stik mampu menyebabkan pertambahan berat badan.


MAKANAN tinggi protein seperti stik, ayam panggang, telur rebus dan kekacang lazimnya menjadi menu makanan golongan lelaki ketika sedang berdiet atau ingin membentuk otot yang kental pada tubuh.

Bagaimanapun, tanpa mereka sedari, makanan tersebut tidak dapat membekalkan zat yang sepatutnya kepada tubuh jika ia dimakan bersama minuman tinggi kandungan gula seperti soda, minuman kordial manis dan juga jus buah-buahan.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Pakar Biologi daripada Universiti Grand Forks, Amerika Syarikat, Shanon Casperson, keadaan tersebut berlaku kerana kewujudan minuman yang tinggi kandungan gula mengganggu metabolisme tubuh seseorang.

“Hasil kajian yang dijalankan mendapati, individu yang mengambil makanan tinggi protein dengan air manis akan menyebabkan pertambahan berat badan secara drastik.

“Ini kerana pada waktu itu, metabolisme tubuh akan menurun dan pada masa sama meningkatkan keinginan individu untuk makan dalam kuantiti besar, terutamanya dalam tempoh empat jam selepas pengambilan air manis,” jelasnya.

Tambah Casperson lagi, individu perlu mengelakkan diri daripada mengambil minuman manis kerana ia bukan sahaja menyebabkan penurunan proses pembakaran lemak, malah menyebabkan masalah obesiti dan diabetes.