Dua anggota tentera maut dalam kemalangan

13/08/2017 12:59pm


Kenderaan yang dinaiki empat anggota tentera remuk teruk selepas terbabit dalam kemalangan awal pagi tadi.


SEREMBAN - Dua anggota tentera terbunuh dan dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 267.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 2.32 pagi itu, mangsa yang maut ialah Anwar Shaari, 23, dan Amirul Zulkhairi Ismail, 24.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kereta jenis Proton Waja itu dinaiki oleh empat lelaki berusia antara 22 hingga 24 tahun.

Menurut beliau, kesemua mangsa yang merupakan anggota tentera darat dan masing-masing bertugas di Port Dickson dan Johor Bahru dalam perjalanan dari Parit Buntar, Perak menghala ke Kem Tentera Port Dickson.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan menyebabkan pemandu dan seorang penumpang tercampak keluar.

"Dua mangsa yang tercampak keluar itu disahkan meninggal dunia di lokasi manakala dua lagi penumpang cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sulizmie berkata, mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk dibedah siasat. Dua yang cedera lain dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE