Bomba selamatkan anak kucing terjatuh dalam longkang sedalam lima meter

13/08/2017 1:57pm


Anak kucing yang berjaya diselamatkan.


NILAI - Seekor anak kucing betina yang terjatuh ke dalam longkang sedalam lima meter di Dataran Nilai dekat sini berjaya diselamatkan oleh anggota bomba pagi tadi setelah dipercayai terperangkap selama dua hari.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Syazwan Said berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada seorang wanita berhubung kejadian itu pada pukul 10.58 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terdiri daripada 10 anggota mendapati seekor anak kucing masih terperangkap. Seorang anggota masuk ke dalam longkang dengan diawasi beberapa anggota lain untuk menyelamatkan haiwan itu.


Seorang anggota bomba membersihkan anak kucing.


"Anak kucing betina yang berjaya diselamatkan itu diberikan air dan beberapa kesan luka di muka serta bulu haiwan tersebut dibersihkan," katanya di sini hari ini.

Mohd. Syazwan memaklumkan, aduan berkenaan diterima daripada guru jahitan, Lili Faizah Abdul Satar, 43, yang terdengar tangisan anak kucing semasa dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Katanya, wanita itu cuba membantu mengeluarkannya namun, tidak berjaya lalu menghubungi bomba. - K! ONLINE